Lilin wangi atau lilin beraroma sering menjadi pilihan untuk mewujudkan suasana tenang dan mendamaikan. Lazimnya ia menjadi pilihan di ruang tamu, di lobi, spa, bilik tidur dan ruang yang digunakan atas tujuan “berehat”.

Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu, lilin beraroma ini sebenarnya boleh mengundang bahaya kepada pengguna.

Penggunaan lilin beraroma menyebabkan pencemaran udara dalaman dan ramai yang yang tidak menyedarinya.

“Orang ramai tidak tahu mengenai pencemaran udara dalaman, malah sumber pencemaran (bau lilin) ini juga merosakkan kesihatan,” kata pakar kesihatan Profesor John Sodeau kepada Evo Echo.

Memetik Huffington Post, sesetengah lilin beraroma dibuat daripada parafin dan komponen lilin juga mungkin bukan dari bahan asas petroleum.

Lilin yang dibakar melepaskan bahan kimia berbahaya, salah satunya ialah benzene dan loluene. Kedua-duanya adalah karsinogen yang boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru.

Malah, pewarna tiruan dan wangian yang terdapat dalam beberapa lilin wangi boleh menyebabkan sakit kepala, asma, dan jangkitan saluran pernafasan.

UK adalah negara dengan pasaran terbesar bagi industri lilin wangi di dunia. Setiap tahun, UK sahaja membelanjakan 90 juta pound bagi pasaran lilin beraroma, petik The Independent

Walaupun industri ini menjanjikan pulangan ekonomi yang baik, Setiausaha Alam Sekitar, Hal Ehwal Makanan dan Luar Bandar Britain, Michael Gove memulakan kempen melarang penggunaan lilin beraroma.

Sebagai permulaan, Gove menyediakan beberapa peraturan kepada pengeluar lilin beraroma di mana mereka diarah supaya melabelkan produk dengan skema termasuk kesan sampingan menggunakan lilin tersebut.

Cadangan untuk pengguna

Aroma daripada lilin beraroma sememangnya tidak dapat dinafikan

Namun anda juga perlu mengawasi beberapa perkara yang berguna. Pertama, gunakan lilin beraroma yang dibuat dengan bahan soya. Jenis lilin ini hanya menghasilkan satu dalam sepuluh jelaga yang biasanya disebabkan oleh pembakaran parafin.

Kedua, anda juga perlu memberi perhatian kepada ramuan lilin. Pastikan sumbu lilin diperbuat daripada kapas. Ini menyebabkan kurang jelaga dihasilkan apabila terbakar.

Lain kali apabila menggunakan lilin beraroma, hati-hati dan awasi keadaan sekeliling. Lebih-lebih lagi jika anda ada anak kecil atau ibu hamil, ataupun warga emas dengan masalah pernafasan dan sebagainya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]