Mahkamah benar pasport Ku Nan dikembalikan sementara

Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya untuk membolehkan beliau mengunjungi anaknya di Australia selain menghadiri mesyuarat perniagaan di Indonesia.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Tengku Adnan supaya pasportnya dikembalikan selepas mendengar penghujahan daripada peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan, dan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Hakim memerintahkan supaya pasport itu dikembalikan berkuat kuasa hari ini dan diserahkan semula kepada mahkamah sebelum 28 Feb tahun ini.

“Anak guam saya mahu mengunjungi 2 anaknya masing-masing berumur 18 dan 13 tahun yang berada di Australia, terutamanya anak perempuan bongsu yang baru mula bersekolah pada 30 Jan,” kata Tan.

Beliau turut berhujah anak guamnya perlu menghadiri beberapa mesyuarat perniagaan atas kedudukan beliau sebagai ahli lembaga pengarah atau pemegang saham yang dijadual diadakan di Indonesia.

Terdahulu, Julia berkata beliau tiada bantahan terhadap permohonan Tengku Adnan, selaku responden.

Pada 15 Nov lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta, daripada seorang ahli perniagaan, Tan Eng Boon, melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu dilakukan sebagai upah bagi dirinya untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Dis 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Tengku Adnan, turut berdepan pertuduhan pilihan di mana atas kedudukannya sebagai menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya sendiri sejumlah RM1 juta tanpa balasan daripada Tan menerusi cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaunnya, sungguhpun mengetahui Tan, yang juga pengarah Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) mempunyai hubungan dengan fungsi rasmi beliau.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Sementara itu pada 12 Dis, beliau didakwa sebagai seorang penjawat awam atas kedudukannya selaku menteri Wilayah Persekutuan, menerima barangan berharga tanpa balasan, berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong, menerusi cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas Sdn Bhd, yang didepositkan ke dalam akaun CIMB kepunyaan Tadmansori Holding Sdn Bhd, yang mana beliau (Tengku Adnan) mempunyai kepentingan dan beliau tahu ada hubungan dengan tugas rasminya.

Tengku Adnan didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Bandar Damansara, Tingkat 1, Lot A4, Blok A, Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur, pada 14 Jun 2016.

caption: (gambar ku nan)
Tengku Adnan Tengku Mansor mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta.