Menteri: Iran terus sokong kumpulan pejuang Palestin

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, negara itu akan menyokong kumpulan Palestin yang menentang pendudukan dan keganasan rejim Zionis. (Gambar AFP)

TEHRAN: Menteri Luar Iran Mohammad Javad Zarif pada Ahad berkata, republik Islam itu akan mengekalkan sokongan terhadap kumpulan pejuang Palestin, lapor agensi berita China Xinhua memetik agensi berita IRNA.

“Iran akan menyokong kumpulan Palestin yang menentang pendudukan dan keganasan rejim Zionis (Israel),” kata Zarif.

Zarif membuat kenyataan itu ketika bertemu Setiausaha Agung Pergerakan Jihad Islam Palestin, Ziad al-Nakhala di ibu kota Lubnan, iaitu Beirut.

Bagi pihaknya, al-Nakhala mengucapkan terima kasih kepada Iran atas sokongannya terhadap perjuangan Palestin dan negara itu.

Kedua-dua pihak membincangkan perkembangan terkini di tanah Palestin yang diduduki.

Zarif tiba di Beirut pada Ahad bagi mengadakan rundingan dengan para pegawai kanan Lubnan berhubung peningkatan hubungan.