Myanmar tahan 2 broker, 14 pendatang haram cuba ke Malaysia

Antara pendatang tanpa izin yang ditahan tentera laut Myanmar ketika meronda perairan di barat Kampung Thaechaung, Sittway di Rakhine, Rabu lalu. (Gambar Facebook)

YANGON: Pihak berkuasa Myanmar menahan 14 pendatang tanpa izin yang dalam perjalanan ke Malaysia serta 2 broker yang membantu mereka, lapor agensi berita China, Xinhua memetik Agensi Berita Myanmar pada Isnin.

Semua pendatang menaiki sebuah kapal yang ditahan pasukan tentera laut Myanmar yang melakukan rondaan sekitar perairan kira-kira 4.8km di barat Kampung Thaechaung, Sittway di Rakhine pada Rabu.

Pendatang asing yang ditahan termasuk 7 wanita.

Siasatan lanjut mendedahkan kedua-dua broker mengumpul penumpang terbabit dan menerima 3 juta kyat (AS$2,000) daripada setiap orang bagi membantu mereka ke Malaysia.

Polis membuka kes terhadap 2 broker dan 14 pendatang tanpa izin itu mengikut peruntukan undang-undang.