Patuh 3 syarat sebelum import produk ganja, kata timbalan menteri

Pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran menteri kesihatan. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Mana-mana syarikat yang berhasrat mengimport produk berasaskan ganja bagi tujuan perubatan perlu patuhi 3 syarat dan mendaftarkannya dengan Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata antara aspek yang diteliti kerajaan sebelum mengesahkan sesuatu produk sebagai ubat adalah selamat digunakan, terbukti berkesan dan maklumat kegunaan yang jelas.

“Walaupun ganja diklasifikasikan sebagai dadah berbahaya tetapi ada dadah berbahaya seperti morfin yang digunakan sebagai ubat, namun digunakan dengan formulasi dan kuantiti tertentu.

Lee Boon Chye

“Jadi, sekiranya hendak import ubat perlu berdaftar di bahagian farmasi Kementerian Kesihatan. Kalau sudah berdaftar dan melepasi syarat dikenakan maka ia boleh digunakan mengikut syarat-syarat ditetapkan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu media melaporkan, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, pokok ganja boleh diusahakan bagi tujuan perubatan dan kajian, namun perlu memperoleh kebenaran menteri kesihatan.

Jelas Zulkifli, terdapat peruntukan undang-undang yang membenarkan penanaman pokok ganja dengan syarat atau kebenaran khusus.

Zulkifli berkata demikian selepas syarikat milik rakyat Malaysia di United Kingdom terkenal dengan penghasilan minyak cannabidiol (CBD), sejenis sebatian kimia dalam ganja, untuk tujuan perubatan.

Syarikat yang diasaskan Abdul Halim Pauzi, Nurul Ain Sahbudin dan Mohd Roslan itu memasarkan minyak CBD itu ke negara Eropah.

“Jadi saya rasa sayanglah kalau benda ini betul dan boleh dilakukan di dalam negara. Kalau kita tengok Akta Dadah Berbahaya, pokok ganja ini boleh diusahakan untuk tujuan perubatan,” kata Zulkifli.

Sebatian CBD tidak menyebabkan penggunanya khayal. Sebatian kimia dalam ganja yang menyebabkan khayal adalah tetrahydrocannabinol (THC).

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kerajaan patut menyemak semula kes hukuman mati terhadap pesalah yang menggunakan ganja untuk tujuan perubatan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata belum ada bukti dalam bidang perubatan mengatakan penggunaan minyak ganja dapat merawat penyakit.

Sehubungan itu, penggunaan minyak ganja di Malaysia dihadkan kepada mereka yang berkelayakan untuk tujuan penyelidikan dan tertakluk kepada kelulusan menteri kesihatan.