Payudara, rambut palsu perlu insurans, kata persatuan kanser

Kebanyakan pelanggan yang menempah rambut palsu ialah penghidap kanser yang mengalami keguguran rambut kerana rawatan kemoterapi.

PETALING JAYA: Sebuah persatuan kanser berharap syarikat insurans membuat penambahan dalam skim perlindungan mereka dengan memasukkan payudara dan rambut palsu sebagai bahan yang disediakan selepas menghidap kanser.

Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia Ranjit Kaur berkata, payudara dan rambut palsu perlu diinsuranskan supaya mereka yang menghidap kanser dilihat diterima oleh masyarakat.

“Mereka memerlukan insurans untuk pemulihan mereka. Sementara mereka dapatkan pemulihan rawatan, mereka perlu bekerja dan menjalankan tugas-tugas mereka.

“Takkan mereka nak pergi berjalan mana-mana dalam keadaan botak. Mesti nak nampak boleh diterima oleh masyarakat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Sebelum ini, pembuat rambut palsu, David Shaw berkata sebahagian daripada pelanggan yang menempah rambut palsu daripadanya ialah penghidap kanser yang mengalami keguguran rambut kerana rawatan kemoterapi.

Bagaimanapun, David berkata, rambut palsu itu tidak diinsuranskan oleh syarikat insurans di negara ini berbanding di luar negara.

Mengulas lanjut, Ranjit yang sebelum ini juga penghidap kanser payudara berkata, beliau berulang kali berbincang dengan syarikat insurans berkenaan perlunya insurans terhadap payudara dan rambut palsu.

Bagaimanapun, syarikat insurans menyatakan mereka tidak boleh berbuat apa-apa mengenai skim perlindungan insurans yang ditawarkan oleh mereka.

Sehubungan itu, Ranjit mahukan syarikat insurans yang ada di negara ini mengubahsuai skim perlindungan insurans ditawarkan mengikut keadaan semasa untuk mereka yang memerlukan.

“Pihak insurans perlu menyesuaikan keadaan. Itu yang penting untuk syarikat insurans.

“Bukan nak jual insurans sahaja tapi tak fikir apa seseorang itu dapat lepas hidapi penyakit kanser. Pihak insurans perlu fokus kepada servis selepas jualan,” katanya.