Pemimpin ‘haluan sederhana’, bekas ahli Perkasa antara calon PPBM di Semenyih

Antara calon yang dipilih untuk mewakili PH di PRK Semenyih.

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu menteri, bekas ahli Perkasa, doktor gigi dan bekas wartawan merupakan senarai calon yang dipilih kepimpinan PPBM untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, akan datang.

FMT difahamkan, 4 nama itu kini sedang dipertimbangkan secara serius oleh Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas calon tersebut diteliti dengan cermat berhubung pencapaian akademik dan sumbangan mereka kepada parti.

“Tidak semua daripada mereka adalah aktivis yang terkenal. Sesetengah mereka tidak terbiasa dengan tekanan politik yang datang bersama jawatan yang dipegang, tetapi mereka muda dan dinamik,” kata sumber dalaman pimpinan PPBM kepada FMT.

Antara nama yang dipilih ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, bekas pegawai penyelidik yang rapat dengan Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Graduan kejuruteraan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu, yang digambarkan sumber sebagai “berhaluan sederhana”, kini merupakan pegawai tugas-tugas khas kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain memiliki ijazah sarjana dari King’s College London selepas tamat pengajian di UTP, Fayhsal, yang terkenal dalam kalangan kenalan rapat sebagai peminat falsafah, juga aktif dalam gerakan masyarakat di Pulau Pinang, termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Sumber PPBM memberitahu FMT, parti itu sedar cabaran besar yang akan dihadapi di Semenyih, sambil menambah pimpinan masih goyah akibat kekalahan dalam PRK Cameron Highlands baru-baru ini, di mana penganalisis menyalahkan kekurangan sokongan orang Melayu terhadap gabungan itu.

Kerusi DUN Semenyih kosong selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, pada 11 Jan.

Bakhtiar, yang mendapat 23,428 undi, mengalahkan 3 calon lain dari Umno, PAS dan PSM, dengan majoriti 8,964 undi.

Seorang lagi calon yang berpotensi dalam senarai yang dikemukakan kepada Dr Mahathir ialah Dr Muhammad Faiz Na’aman, seorang graduan perubatan yang merupakan sebahagian kumpulan sayap kanan Melayu, Perkasa, sebelum menyertai PPBM.

Faiz kini menjadi sebahagian ahli Majlis Tertinggi PPBM dan bertanggungjawab ke atas sayap Pemuda.

Dua lagi calon ialah Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan Ulya Awamah Husamuddin.

Ashraf adalah aktivis pendidikan yang bertanding di kerusi Parlimen Paya Besar di Pahang, tahun lepas. Beliau menduduki tempat ke-3 selepas kerusi itu dimenangi Shahar Abdullah dari Barisan Nasional, diikuti Azhar Mohamad Nor dari PAS.

Sementara Ulya, merupakan lulusan Timur Tengah dalam bidang pergigian di Jordan, kini memegang jawatan ketua penerangan Pemuda PPBM.