Pengantin kanak-kanak Rohingya dan keluarga lari dari Perai

Minggu lepas, polis dan pihak berkuasa agama menghalang perkahwinan budak tersebut dengan lelaki 10 tahun lebih tua daripadanya.

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang hampir dinikahkan dengan pemuda berusia 21 tahun, berhenti sekolah dan lari dari rumahnya di Perai, menurut aktivis yang mengikuti kesnya.

K Sudhagaran Stanley, yang mengendalikan sebuah sekolah percuma untuk pelarian berkata hari ini, selepas kisah kanak-kanak tersebut akan dinikahkan menjadi tular, keluarganya turut meninggalkan rumah.

Minggu lepas, polis dan pihak berkuasa agama menghalang perkahwinan budak tersebut dengan lelaki 10 tahun lebih tua daripadanya, yang juga daripada etnik Rohingya.

Keluarga budak itu kemudian memberitahu polis, mereka akan menikahkan anak mereka itu selepas dia mencapai usia boleh berkahwin di bawah undang-undang.

Hari ini, Sudhagaran memberitahu, kanak-kanak itu sudah berhenti ke sekolah, sementara sumber dalam masyarakat mendakwa keluarganya juga telah berpindah ke Sungai Dua, Butterworth atau Sungai Petani, Kedah.

Sebuah tabloid berbahasa Melayu mendakwa cerita bahawa budak perempuan itu mahu berkahwin mungkin tidak betul kerana guru di sekolahnya memberitahu dia baik dalam pelajaran dan mahu teruskan pengajian.

“Guru-guru tidak percaya dengan laporan tersebut yang berkata dia ingin berkahwin. Kami percaya dia mungkin dipaksa bercakap begitu kepada media,” kata Sudhagaran ketika dihubungi.

Katanya, mungkin juga ibu tiri kanak-kanak tersebut mahu dia tinggalkan rumah dengan mengahwinkannya.

Sudhagaran berkata, pihak berkuasa perlu mengesan dan memantau pergerakan mereka kalau-kalau ada percubaan untuk mengahwinkan budak tersebut.

Katanya, ini mungkin kerana mas kahwin yang banyak telah dibayar dan oleh sebab itu keluarganya terpaksa mengahwinkannya.

“Kalau dia tidak selamat lagi dengan keluarganya, pihak berkuasa perlu memberi dia perlindungan,” katanya.

Rabu lalu, Sudhagaran memaklumkan kepada polis tentang kanak-kanak itu hendak dikahwinkan dengan seorang pemuda berusia 21 tahun dan majlis yang dirancang dbatalkan atas desakan polis.

Bapa kanak-kanak perempuan itu yang berusia 46 tahun, memberitahu polis dia mahu menikahkan anak sulungnya itu disebabkan masalah kewangan di samping ia adalah amalan dalam masyarakat Rohingya.