Penjawat awam perlu setia, jangan menangguk di air keruh

Keheningan pagi Isnin diwarnai gema suara perdana menteri ke-7 yang menusuk kalbu warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. Seperti biasa, ucapannya penuh nasihat dan semangat, menjadi motivasi penjawat awam yang berkhidmat di seluruh Malaysia.

Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru anggota jentera pentadbiran negara setia kepada tanah air, bukannya pemimpin atau parti politik tertentu. Ingatan tersebut mempunyai maksud jelas bahawa tanggungjawab penjawat awam khususnya, dan warga Malaysia amnya, perlu mengambil kira faktor patriotisme terhadap ibu pertiwi dalam apa jua keputusan serta tindakan mereka.

Rakyat Malaysia perlu faham negara ini menjunjung tinggi prinsip demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan. Suara majoriti rakyat yang memilih kerajaan dalam pilihan raya wajar dihormati demi kesejahteraan dan kestabilan di negara ini.

Justeru, pertukaran kerajaan pusat perlu dianggap lumrah dalam sistem politik negara ini, selagi ia melalui jalan demokrasi. Pemimpin akan silih berganti, namun negara tetap sama menanti untuk diuruskan dengan adil, jujur dan saksama.

Isu kesetiaan terhadap negara masih terus relevan untuk diingatkan memandangkan masih wujud unsur-unsur sabotaj, khianat serta salah guna kuasa terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Di sebalik ratusan ribu penjawat awam di seluruh Malaysia yang berdedikasi, bekerja siang dan malam dengan penuh telus, terselit juga watak-watak yang malas, curi tulang, korup dan emosional tidak dapat membezakan tanggungjawabnya sebagai penjawat awam dengan ideologi politiknya yang patut ditinggalkan di luar pejabat apabila dia mula “punch card” untuk masuk bekerja dari pagi hingga petang, jika dirinya bukan bekerja sistem syif.

Realitinya, masih ada watak yang membawa berita palsu kononnya mewakili kerajaan, tidak kurang juga membocorkan hal-hal dalaman sesebuah kementerian atau jabatan, sungguhpun ia tiada kena-mengena dengan hal jenayah, apatah lagi masalah integriti yang lazimnya menjadi buruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Seolah-olah wujud satu komplot untuk menggagalkan fungsi kerajaan pusat hari ini yang ditadbir Pakatan Harapan.

Sebagai kerajaan baru yang usianya belum mencapai setahun, adalah suatu kelaziman jika terdapat beberapa menteri atau timbalan menteri yang dalam proses “pembelajaran” mentadbir.

Lebih-lebih lagi jika menteri atau timbalan menteri tersebut adalah orang muda atau pertama kali memegang jawatan dalam Kabinet atau golongan senior yang terlalu lama menjadi pembangkang selama ini. Namun, ia bukanlah lesen untuk penjawat awam menangguk di air keruh.

Sebagai sebuah kerajaan, pembuat dasar dan keputusan memerlukan kerjasama erat dengan pelaksana. Semuanya mempunyai parameter tugas serta pemantauan KPI masing-masing.

Semua pihak menjawab kepada bos masing-masing, hatta menteri pun akan menjawab kepada perdana menteri. Malah, perdana menteri pula perlu menjawab kepada Parlimen, media dan rakyat. Sudah tentulah bos besar di sini ialah rakyat.

Penjawat awam yang matang sedar mereka berkhidmat demi rakyat, bangsa dan negara, bukan demi pemimpin politik yang menaungi kementerian atau jabatan mereka semata-mata.

Kesetiaan penjawat awam di negara ini adalah kunci penting agar pemulihan ekonomi negara, pemerkasaan sistem tadbir urus melibatkan orang awam serta pengekalan kedaulatan Malaysia terus berjalan lancar. Ia seiring visi menjadikan Malaysia negara maju dalam waktu terdekat.

Kebangkitan Jepun, Jerman dan kini China disebabkan disiplin dan kesetiaan penjawat awam yang berkorban demi negara. Kita perlu memahami peranan masing-masing agar Malaysia mampu berdaya saing mengharungi kedatangan Revolusi Industri 4.0 yang bakal mengubah rutin harian kehidupan tipikal masyarakat hari ini.

Gesaan veteran tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan baru-baru ini agar kerajaan mengenakan tindakan disiplin terhadap mana-mana penjawat awam yang berlagak seperti “Napoleon kecil” kerana sengaja ingkar arahan kerajaan tepat pada masanya.

Sudah tiba masanya kerajaan pusat bertindak tegas terhadap mereka yang menjadi duri dalam daging kerajaan hari ini sehingga menyusahkan orang awam, kerajaan dan negara.

Muhammad Faiz Na’aman ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.