PM ingatkan penjawat awam tidak terlalu taksub pada pemimpin

Dr Mahathir Mohamad (depan) ketika berucap dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan penjawat awam tidak terlalu taksub kepada pemimpin dan parti sehingga melupakan kepentingan negara.

Dr Mahathir berkata ia lebih-lebih lagi jika pemimpin yang memerintah negara tidak lagi menjalankan tugas sepatutnya dan melakukan penyelewengan.

“Maka kesetiaan kita tidak perlu kuat pada pemimpin dan parti sehingga kita melupakan negara kita.

“Pemimpin dipentingkan tetapi negara lebih utama. Kadang-kadang kita terpaksa mengubah sedikit pandangan kita terhadap keadaan dalam negara kita,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra.

Dr Mahathir berkata beliau memahami selepas pertukaran kerajaan, timbul perasaan tidak senang dan tidak tentu arah terhadap ada pihak yang masih setia kepada kerajaan lama.

Katanya, apa yang lebih penting bukan soal pertukaran kerajaan tetapi kesejahteraan dan kebaikan negara.

“Sejak kita merdeka kita tidak pernah tukar kerajaan tetapi hari ini kita dah tukar setelah sebuah parti memerintah selama 61 tahun.

“Jika pemerintahan baru berusaha memajukan negara kita dan kita dapat nikmat kemajuan negara ini, maka kesetiaan kita beri kepada negara.”

“Inilah yang harus kita ingat sama-sama, baik ahli politik atau jentera pentadbiran supaya negara kita terus aman,” katanya.