Projek Sunway Serene punca banjir di SS7 Kelana Jaya

Rumah di SS7 Kelana Jaya dinaiki air selepas hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan banjir kilat.

KUALA LUMPUR: Sistem perparitan bagi pembinaan projek Sunway Serene dilihat tidak dilakukan dengan baik sehingga penduduk Lengkok Golf SS7 di Kelana Jaya berdepan masalah banjir setiap kali hujan lebat.

Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga Lengkok Golf Kelana Jaya, Datuk Lamien Sawiyo berkata, kejadian banjir bukan berpunca dari longkang yang tersumbat, sebaliknya disebabkan tasik berhampiran kawasan perumahan tersebut.

“Sejak Sunway Serene dibangunkan, kapasiti tasik di kawasan perumahan kami semakin mengecil dan tidak dapat menampung air hujan sehingga melimpah ke rumah berdekatan.

“Kita telah membuat aduan kepada Adun Seri Setia, Halimey Abu Bakar serta ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan mereka ada mengadakan lawatan tetapi belum ada sebarang tindakan,” katanya kepada FMT.

Apa yang menghairankan, katanya, bagaimana projek itu boleh mendapat kelulusan tanpa mengambil kira kesan kepada alam sekitar.

Lamien Sawiyo bimbang dengan keselamatan penduduk SS7 Kelana Jaya.

“Sepatutnya sebelum projek itu dibina mereka perlu mengambil langkah membersihkan lumpur dan memperdalamkan tasik tersebut tetapi adakah ia dilakukan? Itu menjadi persoalan,” kata Lamien.

Kawasan perumahan SS7 tidak pernah mengalami banjir kilat dalam tempoh lebih 30 tahun sehinggalah Sunway Serene mula dibina awal tahun lalu.

Limpahan air tasik mula dikesan apabila 26 buah rumah dimasuki air pada 7 Disember lalu dan paras air naik sehingga ke buku lali.

Banjir kilat menyebabkan kerosakan harta benda penduduk dan mereka terpaksa menanggung kerugian setiap kali berlaku hujan lebat.

Dua hari lalu, menurut Lamien, parit berhampiran kawasan perumahan itu mencapai kapasiti maksimum dan hampir mengakibatkan banjir besar.

Sunway Serene merupakan projek Sunway Property di bawah Sunway Group dan terletak di Jalan SS7/4, Kelana Jaya iaitu berhampiran bandar utama Petaling Jaya, Subang Jaya dan Kuala Lumpur.

Setiap blok Sunway Serene mempunyai 46 tingkat dan setiap unit dijual dengan harga bermula RM732,000 dan dijangka siap pada 2022.