Rafidah dipilih anggotai Majlis Tindakan Ekonomi

Rafidah Aziz ialah bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

PUTRAJAYA: Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang akan meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi, kewangan serta kebajikan rakyat.

Matlamat utama majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu ialah merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi mampan, pengagihan kekayaan yang saksama serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak ke atas maklum balas rakyat jelata terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

“Ia juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan PMO itu turut menyenaraikan anggota Majlis Tindakan Ekonomi:

Datuk Seri Azmin Ali – Menteri hal ehwal ekonomi
Lim Guan Eng – Menteri kewangan
Datuk Darell Leiking – Menteri perdagangan antarabangsa dan industri
Baru Bian – Menteri kerja raya
Muhammed Abdul Khalid – Penasihat ekonomi perdana menteri
Tan Sri Rafidah Aziz – Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz – Pengerusi Permodalan Nasional Berhad
Profesor Jomo Kwame Sundaram – Ahli Majlis Penasihat Kerajaan
Tan Sri Tay Ah Lek – Pengarah Urusan Public Bank
Hasnita Hashim – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat
Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen – Pengerusi Bursa Malaysia
Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid – Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean Malaysia
Datuk Paul Selvaraj – Ketua pegawai eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia
Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah – Peguam
Nizam Mahshar – Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia

Menurut PMO, pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta, manakala sekretariat bagi majlis berkenaan adalah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri.