Saksi: Adib dalam kenderaan EMRS ketika dilanggar jentera FRT bomba

Pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman berkata, semasa berlaku pelanggaran, beliau dan Adib melihat kekecohan yang berlaku di depan jentera FRT bomba.

SHAH ALAM: Saksi ke-3 inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, ketika memberi keterangan di depan Koroner Rofiah Mohamad berkata, semasa jentera Fire Rescue Tender (FRT) melanggar van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), Adib belum keluar dari kenderaan.

Ahmad Shahril Othman berkata, semasa berlaku pelanggaran, dia dan Adib melihat kekecohan di depan jentera FRT serta sempat melihat salah seorang anggota bomba, Mohd Hazim Mohd Rahimi, keluar menuju ke bahagian belakang untuk mengambil alat bagi memadam kebakaran.

“Semasa kenderaan berhenti, ada anggota (Hazim) turun lengkap dengan ‘fire jaket’ menuju ke arah belakang jentera FRT untuk menarik hos bagi memadam kebakaran. Belum sempat Hazim padam kebakaran, tiba-tiba dia dan jentera FRT diserang dan diserbu. Selepas itu, saya tidak nampak kelibat Hazim.

“Selepas itu, kenderaan FRT undur secara tiba-tiba langgar depan kenderaan EMRS, kenderaan FRT tidak rosak, ia hanya macam menolak kenderaan yang saya pandu ke belakang.

“Pada waktu itu (Adib) ada di sebelah. Saya masih berkomunikasi lagi dengan arwah dan kami melihat Hazim keluar dari FRT untuk memadam kebakaran, kami sempat bercakap, laju Hazim keluar,” katanya.

Shahril turut memberitahu, semasa pelanggaran berlaku, kenderaan EMRS yang dipandunya turut diserang beberapa individu.

“Pada masa sama juga, ada sejumlah orang serang kenderaan EMRS dengan memakai topi keledar. Di sebelah pintu saya memandu ada lebih 3 orang dan mereka cuba buka pintu kenderaan kami,” katanya.

Awal pagi tadi, saksi ke-2, Md Elliza Mohd Noor yang juga pemandu jentera FRT yang tiba untuk memadam kebakaran sebuah kereta di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 November lalu, memberitahu cermin jentera yang dipandunya dipukul objek keras dipercayai tiang besi net sepak takraw.

Beliau turut memberitahu inkues, sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka diserang lebih 50 individu dari arah depan kenderaan dan beberapa kali mengundurkan jentera terbabit.

“Apabila sampai di lokasi, saya memberhentikan jentera di tempat yang saya rasakan selamat, lebih kurang 10-15m dari kenderaan terbakar. Saya kemudian mendapati ada pergerakan sekumpulan orang awam lebih 50 orang sambil menjerit ‘jangan padam kebakaran’ tersebut. Mereka kata ‘bomba pergi balik’.

“Saya nampak mereka bawa sebatang objek besi putih bentuk tiang net sepak takraw, tidak sampai 5-10 saat, saya mendapati berlakunya ketukan pertama di cermin depan jentera, kemudian disusuli objek seperti batu dan topi keledar menyebabkan cermin jentera retak dan ‘lembik’.”

Selain Shahril dan Elliza, Ketua Bahagian Siasatan Trafik Subang Jaya, DSP Mohamad Nasir Drahman yang menjadi saksi pertama turut memberi keterangan dalam prosiding hari pertama inkues itu.

Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luarKuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, pada 27 November lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Difahamkan, 30 saksi akan dipanggil dalam inkues itu yang dijangka berlangsung selama 52 hari.

Sementara itu, Mahkamah Koroner dan pihak berkepentingan dalam inkues itu akan akan melawat lokasi kejadian di kuil Hindu terbabit, esok.

Rofiah akan mengetuai lawatan itu kira-kira 10.30 pagi.

Peguam mewakili keluarga Adib, Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata, pihaknya dimaklumkan semua peguam, termasuk timbalan pendakwa raya selaku pegawai pengendali dan 3 saksi terlebih dahulu akan berkumpul di mahkamah sebelum menuju ke lokasi kejadian.