Selepas Umno ‘berundur’, saham Utusan melonjak 126%

Saham Utusan Melayu melonjak dari 11 kepada 26 sen, hari ini. (Gambar Utusan Melayu)

PETALING JAYA: Saham Utusan Melayu (Malaysia) Bhd meningkat dengan ketara pada dagangan hari ini, melonjak dari 11 kepada 26 sen atau 126%, dengan 928,000 saham diniagakan tengah hari ini.

Ia berlaku hanya 3 hari selepas syarikat itu, yang menerbitkan akhbar berbahasa Malaysia, mengumumkan Umno melepaskan sahamnya dalam syarikat tersebut.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar dalam syarikat terbabit apabila beliau memperoleh 31.6% saham pada Jumaat.

Bursa Malaysia menunjukkan beliau memperoleh saham itu, yang terdiri 35 juta saham, pada 19 sen setiap satu dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM6.65 juta.

Beliau tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat tersebut sebelum pemerolehan itu.

Utusan diklasifikasikan sebagai syarikat berstatus Amalan Nota 17 (PN17) pada 20 Ogos tahun lalu berikutan kedudukan kewangannya yang teruk.

Syarikat itu berkata ia sedang mengemukakan pelan perancangan penstrukturan semula syarikat untuk menangani status PN17nya.