Sidang kemuncak Trump-Kim penting untuk Semenanjung Korea bebas senjata nuklear

Presiden Korea Selatan, Moon Jae In berkata, masa depan Semenanjung Korea bergantung kepada keamanan yang stabil. (Gambar Bernama)

SEOUL: Presiden Korea Selatan, Moon Jae In berkata, sidang kemuncak kedua antara Amerika Syarikat dan Korea Utara bakal menjadi detik penting bagi merealisasikan proses perdamaian dan Semenanjung Korea yang bebas senjata nuklear, lapor agensi berita Yonhap.

Moon berkata, mesyuarat dengan setiausaha presiden dan pembantunya di sidang kemuncak AS-Korea Utara yang dijadual pada 27 hingga 28 Februari di Vietnam memberikan peluang kepada Korea untuk meningkatkan hubungan.

“(Sidang kemuncak akan datang) bakal menjadi titik perubahan mencapai kemajuan khusus serta ketara sebagaimana dipersetujui, termasuk Semenanjung Korea yang benar-benar bebas senjata nuklear dan hubungan damai AS-Korea Utara yang baru,” kata Moon.

Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un merancang mengadakan sidang kemuncak kedua lewat bulan ini di Hanoi selepas pertemuan pertama di Singapura Jun lalu.

Sejak pertemuan di Singapura itu, persetujuan yang dicapai antara Washington dan Pyongyang menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak saling menuding jari.

Moon berharap sidang kemuncak itu menjadi peristiwa bersejarah untuk mengakhiri kemelut dan membawa keamanan di Semenanjung Korea.

“Apa yang lebih penting bagi kita ialah pertemuan itu akan menjadi peluang membantu memajukan hubungan antara Korea,” katanya.

“Masa depan kita bergantung kepada keamanan yang stabil.”