Kepesatan teknologi automasi dan teknikal perlu dimanfaatkan usahawan agar tidak ketinggalan, sekali gus membantu mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

Penggunaan teknologi dalam penghasilan produk didapati mampu meningkatkan produktiviti selain memastikan kebersihan dan kualiti.

Namun, apakah golongan usahawan terutamanya yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) bersedia untuk mengubah pemikiran mereka supaya beralih kepada teknologi automasi dan inovasi seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)

Pengarah Easy Pack Group Goh Toh Sin berkata kesedaran tentang penggunaan teknologi dalam kalangan usahawan IKS masih kurang namun ia boleh dipertingkatkan jika semua pihak memainkan peranan yang betul.

Beliau berkata walaupun syarikat itu, yang berkecimpung dalam industri automasi pembungkusan berasas makanan telah beroperasi sejak 1991, masih ramai usahawan kecil serta agensi kerajaan negara ini yang tidak tahu mengenainya.

“Kami adalah kilang yang mengeluarkan mesin automasi untuk pelbagai produk. Kami menghasilkan banyak mesin untuk kegunaan dalam negara dan telah pun mengeksport mesin kami ke lebih 40 negara,” katanya.

Beralih dari manusal ke automasi

Goh berkata beliau mendapati ramai usahawan IKS masih menggunakan kaedah manual untuk menghasilkan produk selain peralatan serta mesin yang dibeli dengan geran yang diberikan oleh kerajaan, tidak digunakan sepenuhnya.

Ada antara mesin itu tersadai begitu sahaja kerana tidak boleh digunakan berikutan ketidaksesuaiannya dengan produk yang dihasilkan.

“Akibatnya, berlaku pembaziran geran kerajaan kepada usahawan terbabit. Usahawan haruslah menghargai geran yang diberikan kerajaan dengan memajukan perniagaan. Kami mahu mereka menggunakan dana berkenaan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata Malaysia mempunyai produk industri desa yang besar tetapi tahap perkembangannya adalah terhad.

“Jadi, di sinilah peranan kami untuk membawa teknologi automasi kepada para usahawan untuk membantu mereka meningkatkan pengeluaran dan produktiviti,” katanya.

Menurutnya kekurangan teknikal menyebabkan pengeluaran produk IKS Malaysia tidak mampu menembusi pasaran luar, katanya sambil memberitahu syarikatnya turut menawarkan kepakaran, idea, inovasi, reka bentuk pengeluaran dan jangka hayat makanan.

Goh berpendapat penghasilan produk Malaysia yang mempunyai sijil halal juga perlu menggunakan automasi sekiranya mahu menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata Evergreen Cove Sdn Bhd iaitu anak syarikat Easy Pack menawarkan khidmat nasihat dan perundingan secara percuma kepada usahawan yang berminat untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pengeluaran produk mereka.

Menurutnya Evergreen Cove adalah untuk usahawan tempatan khususnya golongan B40 bumiputera yang mahu mendapatkan bantuan khidmat nasihat.

“Kami mahu membantu usahawan dari mula hingga akhir dengan mencadangkan peralatan automasi yang tepat dan mengoptimumkan perbelanjaan mereka menerusi teknologi.

“Sesiapa sahaja boleh datang ke pejabat kami untuk dapatkan khidmat nasihat dan konsultasi percuma,” jelasnya.

Khidmat nasihat percuma

Pengarah Pembangunan Usahawan Bumiputera Ever Green Cove Sdn Bhd, Norita M. Habib berkata pihaknya akan memberi khidmat nasihat dan konsultasi percuma kepada usahawan selain turun ke lapangan bagi mencari penyelesaian membantu mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata selalunya usahawan terlepas pandang dan memandang remeh dari segi pembungkusan sedangkan citarasa produk makanan mereka boleh dipasarkan ke luar negara.

“Jika usahawa mahu mendapatkan bantuan, kami boleh memberikan cadangan dan nasihat secara percuma. Kami akan membantu dari segi khidmat nasihat teknikal kepada usahawan yang secara tidak langsung membantu mengurangkan pembaziran dengan pembelian barangan yang betul,” katanya.

Menurutnya masih ramai usahawan yang tidak tahu mengenai perkhidmatan yang ditawarkan Ever Green Cove memandangkan Kementerian Pembangunan Usahawan Bumiputera ditubuhkan tahun lepas.

Norita berkata menerusi automasi, para usahawan bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran malah kebersihan lebih terjamin dengan jangka hayat makanan juga lebih tahan lama.

Mengambil contoh perusahaan sambal roselle, beliau berkata usahawan berkenaan mengambil masa 12 jam untuk menghasilkan 60 kilogram (kg) sambal secara manual dan memerlukan empat pekerja untuk menggaul sambal semasa proses memasak.

Namun, selepas pihaknya memberi penyelesaian melalui automasi, beliau berkata penggunaan mesin memproses mengambil masa dua jam untuk menghasilkan 60kg sambal.

Dalam pada itu, Goh menolak dakwaan bahawa mesin automasi boleh menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan.

Menurutnya tenaga manusia masih diperlukan walaupun semua kerja dikawal oleh mesin.

“Bila pengeluaran bertambah, sudah tentu kita memerlukan pekerja untuk memantau, menyusun, melakukan penghantaran dan sebagainya. Usahawan dan semua pihak perlu menukar pemikiran seiring dengan gelombang IR4.0,” katanya.