Adib hilang selepas van berpusing dilanggar trak bomba, kata saksi

SHAH ALAM: Saksi inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, hanya menyedari anggota bomba itu tiada dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selepas kenderaan itu berpusing ditolak trak keselamatan kebakaran (FRT).

Pemandu van EMRS, Pegawai Perubatan Ahmad Shahril Othman berkata dia tidak sedar apa yang berlaku kepada Adib ketika kenderaannya teranjak.

Ini kerana dia memberi tumpuannya sepenuhnya kepada mengawal van itu sambil tangan kanannya menahan pintu kenderaan daripada dibuka perusuh.

“Saya hanya menyedari arwah tiada setelah EMRS berpusing dan berada rapat dengan FRT dalam keadaan pintu sebelah Adib tertutup,” katanya kepada pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah.

Shahril terkedu seketika apabila menyedari kehilangan rakan penyelamatnya itu, tetapi tidak mampu berbuat apa kerana keadaan yang tegang.

Adib dan pasukannya turun ke tempat kejadian bagi memadam api kenderaan-kenderaan yang terbakar dalam keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas.

“Saya berhenti seketika, terkedu, tergamam dan tekan minyak menyelamatkan diri ke ibu pejabat polis Subang Jaya,” katanya.

Shahril meneruskan keterangannya sebagai saksi ke-3 di hari ke-2 inkues menentukan punca kematian Adib, yang parah dalam keganasan di kuil Seafield itu.

Dalam keterangannya semalam, Adib berada disebelahnya semasa pelanggaran. Sebelum itu Shahril dan Adib mengulas kekecohan yang berlaku, dan melihat seorang lagi rakan penyelamat, Mohd Hazim Mohd Rahimi keluar ke bahagian belakang trak untuk mengambil alat memadam kebakaran.

Shahril memberitahu koroner perasaannya selepas berjaya melepaskan diri daripada perusuh di kuil Seafield.

“Semasa memandu ke balai polis, saya rasa macam nak mati,” katanya.

“Masa sampai di IPD Subang Jaya, saya terkejut melihat Hazim yang berada di bahagian belakang kenderaan.”

Dia juga hanya menyedari tayar kiri EMRS pecah selepas sampai di IPD Subang Jaya.

Pagi tadi, Koroner Rofiah Mohamad bersama timbalan pendakwaraya, peguam keluarga dan wakil Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turun ke lokasi kejadian dalam kawalan ketat pasukan keselamatan.

Turut hadir, saksi-saksi hari pertama inkues iaitu Ketua Jabatan Siasatan Trafik Subang Jaya, Mohamad Nasir Drahman, anggota bomba Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor dan Shahril.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Difahamkan seramai 30 saksi akan dipanggil dalam inkues itu yang dijangka berlangsung selama 52 hari.