(Gambar Bernama)

Lebih 40% spesies serangga boleh pupus dalam tempoh beberapa dekad akan datang, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kajian baharu.

Kajian bertajuk “Worldwide decline of the entomofauna: A review of its drivers,” tulisan Francisco Sanchez-Bayo dari Universiti Sydney dan Kris Wyckhuys dari Akademi Sains Pertanian China itu mendedahkan 1/3 daripada spesies serangga berdepan ancaman serta kemerosotan jumlahnya mungkin mendatangkan satu kesan “katastrofik” terhadap bumi.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Biological Conservation mendedahkan kadar kepupusan serangga ialah 2.5% setahun, menunjukkan ia mungkin lenyap dalam tempoh seabad.

Para saintis memberi amaran kehilangan habitat semula jadi, penggunaan racun perosak dan baja di ladang serta pelepasan sisa dari kilang dan bandar adalah “pemacu utama” kemerosotan itu manakala spesies invasif serta perubahan iklim merupakan punca tambahan.

Laporan itu menyebut kadar kepupusan serangga ialah 8 kali lebih cepat berbanding unggas, mamalia dan reptilia sambil menambah Lepidoptera, order serangga yang merangkumi rama-rama dan kupu-kupu; Himenoptera, yang terdiri daripada lalat gergaji, penyengat, lebah dan semut, serta Koleoptera yang terdiri daripada kumbang tinja, adalah spesies paling terjejas.

Serangga, sumber makanan bagi kebanyakan spesies seperti unggas dan mamalia, amat penting kepada ekosistem bumi serta kitaran hidupan liar.

Para saintis terbabit menggesa agar tindakan pantas diambil bagi menghalang pelupusan besar-besaran ini daripada berlaku.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]