Harapan Rakyat: Pihak halang PPBM ke Sabah bimbang hilang sokongan

Lajim Ukin berkata kestabilan politik akan wujud semula apabila PPBM melebarkan sayapnya ke Sabah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) mengalu-alukan kedatangan PPBM ke Sabah, mengatakan pihak yang menentang kemasukan parti itu sebenarnya bimbang kuasa mereka akan berkurangan.

Presidennya, Datuk Seri Lajim Ukin berkata rakyat Sabah mengalu-alukan kemasukan PPBM pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala pihak yang menentang pula bimbang kehilangan sokongan.

“Sebenarnya, ketakutan itu tidak perlu timbul, jika mereka yang menentang itu mengutamakan kemajuan dan pembangunan negeri dan rakyatnya.

“Parti politik yang sebenar-benarnya, perlu mempunyai hala tuju membangunkan negeri dan rakyat serta matlamat itu perlu diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lalu, Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal bertemu Pengerusi PPBM Dr Mahathir untuk menyampaikan kebimbangan mengenai laporan mendakwa parti Semenanjung itu akan menubuhkan cawangan di Sabah.

“Ya, saya telah berjumpa dengannya dan memberi pendapat saya.

“Perkara yang terbaik ialah kekalkan persefahaman kita sebelum pilihan raya,” kata Shafie, walaupun Dr Mahathir setakat ini menafikan parti itu akan dilancarkan di Sabah.

Lajim menambah, kestabilan politik akan wujud semula apabila PPBM melebarkan sayapnya ke Sabah.

“Sejarah Sabah hanya membangun apabila wujudnya kestabilan politik. Berasaskan kepada senario politik semasa, kemasukan PPBM ke Sabah boleh menstabilkan politik Sabah,” katanya.