Ijazah ‘palsu’: Tiada tindakan terhadap Marzuki, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata PH dan PPBM tetap berpegang kepada prinsip integriti.(Gambar Bernama)

SEMENYIH: Tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Datuk Marzuki Yahya meskipun keaslian sijil akademiknya terus dipertikai, kata presiden PPBM.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Marzuki telah pun membuat penjelasan dan beliau akan terus berkhidmat sebagai setiausaha agung PPBM.

“Marzuki sudah berikan penjelasan yang mencukupi, dia tidak pernah kata sijilnya dari Cambridge United Kingdom tetapi Cambridge di Amerika Syarikat.

“Jadi beliau kekal sebagai setiausaha agung PPBM, soal jawatan Kabinet pula terletak kepada perdana menteri, tak perlu dipanjangkan isu ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Batalion 4 Pasukan Gerakan Am, hari ini.

Beliau menambah, Pakatan Harapan dan PPBM tetap berpegang kepada prinsip integriti.

“Jangan sekali-kali bohong, PH dan PPBM berpegang kepada prinsip integriti, kejujuran dan kebenaran.

“Kalau buat cerita bukan-bukan, sudah tentu rakyat tidak akan sokong,” katanya.

Muhyiddin turut menjelaskan kehadirannya di Semenyih hari ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 2 Mac ini.

“Polis Diraja Malaysia adalah agensi di bawah kementerian saya dan saya sekadar menjalankan tugas bagi meningkatkan prestasi PDRM dan Jabatan Penjara, saya tidak fikir ia melanggar etika.

“Lawatan kerja ini tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Semenyih, saya hanya ingin menjelaskan polisi dan dasar kerajaan PH, itu pun salahkah?” soalnya.

Muhyiddin turut menjawab mengenai kelibat pegawai tinggi PDRM di Istanbul, Turki seperti yang dilaporkan Sarawak Report, mengataka ia adalah urusan kerja.

“Saya yang bagi mereka kelulusan untuk ke sana supaya mereka boleh mempelajari dari negara lain bagaimana untuk menangani judi dalam talian dengan efektif.

“Saya tidak tahu berapa ramai yang pergi tetapi mereka sebenarnya ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah badan di bawah Kementerian Kewangan,” katanya.

Muhyiddin juga menolak andaian A Kadir Jasin mengenai penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkait rapat dengan kelemahan kerajaan PH.

“Perkara itu tidak betul, ia hanya untuk membantu mengukuhkan dan memulihkan ekonomi, ia hanya salah satu inisiatif kerajaan PH.”