Jangan cepat puas hati walaupun IS sudah tewas

Aktiviti IS kini lebih bersifat tersembunyi atau setempat.

NEW YORK: Seorang pegawai kanan anti-keganasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin memberi amaran komuniti dunia tidak seharusnya berasa puas hati dengan kekalahan yang dialami kumpulan pengganas IS baru-baru ini, lapor agensi berita China Xinhua.

Meskipun IS dan sekutunya berjaya ditewaskan, ancaman yang ditimbulkan oleh saki-baki pejuang kumpulan itu serta individu yang mendapat inspirasi daripada mereka, kekal tinggi dan mempunyai jangkauan global, kata Vladimir Voronkov, penolong setiausaha agung Pejabat Anti-keganasan PBB, kepada Majlis Keselamatan.

“Oleh itu, saya ingin menekankan kekalahan IS baru-baru ini tidak seharusnya menimbul rasa puas hati di mana-mana peringkat,” kata Voronkov.

Memiliki pusat kawalan di Iraq dan Syria, di mana ia dilaporkan mempunyai antara 14,000 dan 18,000 militan, termasuk 3,000 pengganas asing, IS terus berkembang menjadi rangkaian rahsia yang beroperasi di peringkat tempatan dan mengatur langkah ke peringkat wilayah, serta dilaporkan mempunyai matlamat untuk menjejaskan kestabilan mana-mana negara, kata Voronkov ketika memberi taklimat kepada Majlis Keselamatan.

Meskipun aktiviti IS kini lebih bersifat tersembunyi atau setempat, kepimpinan pusatnya mengekalkan pengaruh dan matlamat untuk melancarkan serangan secara langsung di peringkat antarabangsa, oleh itu, ia masih memainkan peranan penting dalam mengetengahkan objektif kumpulan pengganas itu, kata beliau.