Jangan salahkan media apabila politikus celopar

Saya agak terganggu dengan beberapa hantaran media sosial pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyalahkan media kerana sering menyiarkan artikel dikatakan sensasi. Mereka turut berhujah, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengatakan media tidak boleh dibiarkan terlalu bebas dan perlu dikawal kerajaan yang dipilih rakyat.

Seruan terhadap Akta Anti-berita Tidak Benar turut berkumandang – katanya baik untuk memastikan media tidak melaporkan berita yang semborono atau palsu.

Kenyataan-kenyataan seperti ini tidak wajar wujud, terutamanya daripada mereka yang konsisten menyatakan rakyat telah memilih Malaysia Baru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mengawal media dengan erti kata menentukan mana yang “sensasi”, “betul”, “beretika” dan seumpamanya bukanlah kriteria Malaysia Baru, tapi Malaysia pilu.

Warga media tanpa mengira jenis, ideologi dan gaya harus mempertahankan kedaulatan media, terutamanya selepas PRU14 – pada saat demokrasi di Malaysia kurang sihat akibat defisit “semak imbang”.

Kalau tak ada angin, pokok tak akan bergoyang

Kebanyakan pimpinan PH yang melatah adalah mereka yang menjadi “mangsa” kesensasian laporan media. Mereka menuding jari kepada media kerana dikatakan media cuma mahu memilih tajuk sensasi dan hanya mahu menulis laporan yang boleh menjatuhkan kredibiliti mereka.

Bagi saya, hujah seperti ini cukup dangkal. Pada asasnya, media menulis berita berasaskan kejadian atau ucapan sebenar seseorang. Melainkan media itu berhajat disaman, boleh dikatakan apa dilaporkan mereka adalah perkara yang sememangnya berlaku.

Bagaimana media melaporkannya atau kandungan apa yang mahu diambil, terpulang kepada mereka. Selalunya bergantung kepada “nature” media tersebut, jika mereka mesra pembangkang sudah tentu mereka bekerja keras mencari kesalahan yang boleh dieksploitasi.

Oleh itu, tugas anda sebagai politikus ialah berhati-hati dan responsif. Jika terdapat laporan mengelirukan, segeralah menjawabnya dengan tegas.

Adakah individu-individu ini ingin kerajaan melakukan “micro-manage” dengan memberikan tajuk, mengawal selia artikel atau melantik pasukan editorial kerajaan? Bunyinya sahaja sudah cukup mengarut.

Saya membaca banyak laporan “nakal” terhadap pimpinan PH, kebanyakan laporan itu terhasil kerana kenyataan mereka sendiri. Mengambil contoh kenyataan Maszlee Malik ingin memasukkan skandal 1MDB dalam sukatan pelajaran sejarah, dia memang berkata begitu.

Begitu juga isu hartawan Arab yang disebut Khalid Samad. Adakah dalam kes ini media juga yang salah atau memang politikus yang celopar?

Akta Anti-berita Tidak Benar

Sebagai orang yang waras, sudah tentu kita tidak mahu membaca berita palsu dan berusaha membendung berita palsu. Namun, permasalahan Akta Anti-berita Tidak Benar akan berbalik kepada satu soalan fundamental – siapa yang akan menentukan “berita palsu”?

Lupakah kita bagaimana peranan besar Sarawak Report dalam membongkar dan menyedarkan rakyat tentang isu 1MDB? Lupakah kita bagaimana Sarawak Report pernah dihalang aksesnya di Malaysia kerana dikatakan menyiarkan berita palsu atau boleh menggugat keharmonian negara? Saya tidaklah terlalu menggemari Sarawak Report, tapi ia adalah contoh paling mudah.

Kita bimbang jika apa-apa kritikan, pertanyaan atau dakwaan terhadap kerajaan akan dilihat sebagai “fake news”. Tambahan, kita memiliki banyak akta yang boleh digunakan untuk menghadapi laporan berita palsu, bahkan telah beberapa kali digunakan – contohnya saman fitnah.

Lebih aneh, kebanyakan pemimpin bercakap mengenai Akta Anti-berita Tidak Benar merupakan mereka yang menentangnya. Sikap seperti ini kelihatan menjadi kegemaran beberapa individu dalam PH – bangkang ketika menjadi pembangkang, sokong ketika menjadi kerajaan. Ia tidak konsisten dan memalukan.

Baiki prestasi PH

Hujah kerajaan masih baru tidak boleh lagi dijadikan alasan oleh pimpinan PH yang mahu menjerut media. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk menjadi dungu kerana kemahiran berdepan media boleh dipelajari dalam tempoh singkat. Kita tidak perlu tunggu hutang negara berkurangan untuk berbuat demikian.

Saya mahu kerajaan hari ini berjaya, saya benar-benar mahu. Keberanian rakyat menukar kerajaan perlu diberikan penghargaan. Tiada penghargaan yang lebih besar daripada menjadi kerajaan baik dan mengutamakan isu periuk nasi rakyat.

Rahman Imuda ialah bekas aktivis mahasiswa.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.