Makanan menjadi antara isu besar apabila berada di luar negara. Ia juga menjadi antara kebimbangan utama apabila terpaksa berjauhan untuk jangka masa yang lama sehingga kita terpaksa “membungkus” makanan bercitarasa Malaysia ke luar negara.

Beberapa orang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang masakan tempatan kini dilihat membuka perniagaan mereka dengan menyediakan makanan Malaysia di luar negara. Ia terus mendapat tempat dalam kalangan penduduk dan pecinta makanan termasuk di negara terbabit.

FMT Ohsem menyenaraikan beberapa lokasi makanan Malaysia yang menembusi pasaran antarabangsa khas untuk mereka yang berada di luar negara.

1. Nasi ayam madu Paris

Seorang wanita tempatan yang terpaksa menetap di Paris kerana mengikut suaminya, seorang warganegara Perancis kini dikenali ramai khususnya warga Malaysia. Ini kerana penangan nasi ayam madu Paris yang dijual secara tempahan. Jadi kalau anda belajar atau menetap di Paris dan kempunan masakan Malaysia, bolehlah menghubungi Nurazimah Mohd. Karim yang membuat penghantaran juadah itu dari kediamannya di Drevail City ke ibu kota Paris menerusi laman sosial miliknya. Ramai selebriti tempatan antara pelanggan wanita berusia 42 tahun ini yang juga ibu kepada 3 orang anak antaranya, Neelofa, Datin Paduka Eina Azman dan suami,penyanyi dan Abby Abadi.

2. Nasi lemak D’Seoul Korea

Di Korea Selatan mungkin mustahil untuk mencari makanan yang kena dengan tekak Malaysia. Tetapi kini tidak lagi apabila seorang wanita, Sri Rahayu Baderi, 35,  menjalankan perniagaan nasi lemak sepenuh masa di negara itu. Nasi lemak D’Seoul dijual menggunakan bungkusan kertas perang seperti mana yang terdapat di Malaysia oleh Rahayu dan suami. Daripada 30 bungkusan kini mereka menerima lebih 400 bungkus menandakan makanan itu bukan sahaja menjadi buruan rakyat Malaysia malah penduduk Korea Selatan sendiri.

3. Laksa Sarawak di kota Melbourne

Laksa Sarawak satu lagi masakan yang sukar ditemui bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia sendiri. Maklumlah, untuk mendapat resepi dan rasa asli, bukan sesuatu yang mudah. Bagaimanapun di Melbourne, Australia keinginan menikmati laksa tempatan tercapai dengan mengunjungi restoran Sarawak Kitchen. Menumpukan kepada kulinari dari Borneo, khususnya Sarawak, di sini penggemar makanan tempatan boleh menikmati lebih 70 jenis mi dan sup  seperti mi kolo, mi sup Kampuna dan tentu sekali laksa Sarawak. Bagaimanapun ia tidak sesuai untuk mereka yang beragama Islam kerana Sarawak Kitchen bukan pilihan makanan halal.

4. Nasi kerabu Tarmizee dari Kelantan ke Scotland

Nasi nasi kerabu ayam madu yang terkenal di Kelantan kini turut didapati di Scotland. Makanan yang diusahakan oleh Mohd. Tarmizee Mohd. Alwi, 39, yang berasal dari Bachok, Kelantan kini menetap di Edinburgh, Scotland menerima tempahan melalui Facebook sebelum diedarkan kepada pelanggan. Tarmizee menyediakan penghantaran terus ke rumah selain pelanggan juga boleh mengambil nasi kerabu di tempat dan masa yang telah ditetapkan olehnya. Tarmizee menetap di Edinburgh kerana menemani isteri Akmal Adilah Idris, 37, yang menyambung pengajian peringkat doktor falsafah dalam jurusan Molecular Plant Science di University of Edinburgh.  Katanya, dia terpaksa membuat kerja sambilan untuk mencari duit tambahan serta mengisi masa lapang selain memenuhi permintaan rakan-rakan.

5. Keropok lekor ke serata dunia

Sebut sahaja keropok lekor anda pasti terbayangkan Terengganu. Kini, keropok lekor turut dijual di London di bawah jenama Chicken Cottage. Ia dikatakan dijual pada harga £3.50 (RM19) sebungkus selain turut dijual ialah nasi dagang.Chicken Cottage juga dijangka mendirikan jenama tersebut di 6 lokasi antarabangsa yang lain iaitu Dubai, Algeria, Jerman dan United Kingdom.

6. Burger jalanan di pasar New York

Burger jalanan yang menjadi pemandangan lazim di Malaysia mungkin sukar atau hampir tidak dijumpai di mana-mana tempat lain. Tetapi jika anda berada di New York dan meminati makanan itu, “burger jalanan gaya Malaysia” juga boleh didapati di Queens Night Market menerusi The Malaysia Project (TMP). Menggunakan terma Ramly burger walaupun daging yang digunakan adalah buatan sendiri dan halal, tetapi mereka lebih selesa dengan gelaran jenama yang berjiwa Malaysia itu. Menariknya mengenai burger ini  ialah cara ia dibungkus menggunakan telur selain kepingan keju serta sos yang menambah rasa.

7. Café Malacca di Hong Kong 

Café Malacca bukan sahaja menawarkan makanan dari negeri kecil Melaka tetapi dari Malaysia dan Singapura di tanah oriental, Hong Kong. Berlokasi di Hotel Jen (Traders Hotel) di Sai Wan ia dibuka pada 2012 dan antara kafe yang menawarkan menu terbaik Malaysia seperti char kway teow, assam laksa, rojak dan sate. Ia juga terkenal dengan makanan kari kepala ikan serta ketam bercili. Kalau mahu merasa makanan Malaysia di Hong Kong, ini adalah salah satu tempatnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]