Kapal bergeser di perairan Malaysia, bukan Singapura, tegas Putrajaya

Saifuddin Abdullah berkata, Polaris berada dalam sempadan Pelabuhan Johor Bahru semasa bergeser dengan Piraeus Ahad lalu.(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Putrajaya sekali lagi menafikan dakwaan Singapura berhubung kapal Malaysia, Polaris yang terbabit dalam pergeseran di luar Pelabuhan Johor Bahru, berlabuh di perairan Singapura ketika ketegangan maritim antara 2 negara jiran itu berterusan selama sebulan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Polaris yang ditugaskan meletakkan boya, berada dalam sempadan Pelabuhan Johor Bahru semasa bergeser dengan Piraeus Ahad lalu.

Ini disusuli kenyataan bercanggah daripada pihak berkuasa Malaysia dan Singapura mengenai kedudukan kapal tersebut.

“Polaris berada di sempadan Pelabuhan Johor Bahru, itu pendirian kita,” katanya selepas menghadiri pelancaran buku karya ahli perniagaan, Anas Zubedy.

Beliau bagaimanapun berkata, Putrajaya memahami kebimbangan Singapura kerana lokasi itu adalah subjek pertikaian antara 2 negara.

“Tetapi, kita sangat jelas Polaris berada di dalam sempadan pelabuhan kita. Sudah tentu mereka akan dakwa Polaris berada di perairan dipertikaikan, tapi ini adalah isu yang kita akan ‘amend’ (selesaikan).”

Saifuddin berkata, rundingan antara Wisma Putra dan Kementerian Luar Singapura masih berrterusan.

“Malah, kita sentiasa berunding banyak perkara lain.”

Pergeseran itu berlaku sebulan selepas Singapura membantah lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke sebuah kapal kerajaan Malaysia yang didakwa “berlabuh secara haram” di luar perairan Tuas.

Republik itu kemudian membatalkan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) dengan menyifatkan tindakan Osman itu satu bentuk “provokasi”.

Dalam isu lain, Saifuddin berkata, Malaysia sudah menyuarakan pendirian kepada China berhubung layanan terhadap etnik minoriti Uighur.

“Di peringkat rasmi, Wisma Putra sudah memberitahu Kedutaan China di Malaysia, kita sedang mengikuti perkembangan perkara itu.”