Maqasid syariah zaman BN sekali atau PH sahaja, PAS sindir Hasanuddin

Tuan Ibrahim Tuan Man mengkritik AES yang dilihat tidak sesuai malah samannya juga tidak ada diskaun.

PETALING JAYA: PAS mempersoalkan kenyataan Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus yang mengatakan pemasangan kamera AES menepati maqasid syariah, sama ada ia terpakai di zaman Pakatan Harapan (PH) sahaja atau termasuk ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam nada menyindir berkata Hasanuddin cuba menggunakan pendekatan agama untuk menghalalkan pemasangan tersebut oleh kerajaan PH.

“Mengapa pemasangan AES dan saman yang disifatkan menekan serta menzalimi rakyat oleh PH dahulu tidak dimansuhkan, sebaliknya ditambah apabila berkuasa?

“Menepati maqasid syariah (pemasangan AES) ini adakah zaman BN sekali atau untuk zaman PH sahaja. Kita pertikai dahulu tetapi apabila ada kuasa mengapa tambah lagi (kamera AES),” katanya memetik laporan Utusan Online.

Hasanuddin yang juga ahli Parlimen Hulu Langat dalam kenyataan di Facebook pada 8 Februari berkata, pemasangan kamera AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang kenderaan, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.

Kenyataannya itu kemudiannya mendapat kritikan dan kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan beliau mempergunakan agama untuk tujuan politik.

Beliau bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dengan berkata, perkara baik yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu tidak akan dibuang.

“Apa yang kerajaan dulu (buat) yang baik kami tak akan buang. Takkan alat-alat yang dah dibeli dulu kita nak simpan dalam stor, kita nak buang?

“Kami telah proses, melihat balik dan ia boleh dimanfaatkan. Benda itu (AES) boleh diguna untuk kepentingan negara. Ada orang marah, dulu cakap lain sekarang cakap lain. Kami cakap ‘here and now’,” kata Hasanuddin.