Marzuki tak tarik balik petisyen terhadap Shabudin Yahaya

PUTRAJAYA: Pemimpin PPBM, Datuk Marzuki Yahaya tidak akan menarik balik petisyen terhadap keputusan pilihan raya umum ke-14 bagi Parlimen Tasek Gelugor walaupun penyandangnya, Datuk Shabudin Yahaya kini ahli partinya.

Senator itu, yang tewas di kepada Shabudin pada pilihan raya lepas, mahu kes mahkamah itu diteruskan.

“Tidak akan digugurkan,” katanya ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini, selepas meraikan kemasukan Shabudin ke PPBM.

Pada 14 Januari lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya menetapkan perbicaraan petisyen yang difailkan Marzuki pada Jun lalu akan bermula pada 25 Februari depan dan akan berlangsung selama 9 hari.

Shabudin menewaskan Marzuki dan seorang lagi pencabar daripada PAS dengan kelebihan 81 undi.

Semua Borang 14 daripada 27 pusat daerah mengundi dibawa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan semakan pada 2 Januari lepas.

Marzuki menyaksikan penyerahan kad keahlian PPBM kepada Shabudin dan 6 bekas ahli Parlimen Umno hari ini.

Mereka adalah Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah) yang kini ahli PPBM.