Mat Sabu sambut baik 7 wakil rakyat masuk PPBM

Presiden Amanah (4 dari kanan) terima borang ahli baru di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Presiden Amanah Mohamad Sabu sambut baik 7 bekas ahli Parlimen Umno memasuki PPBM hari ini, mengatakan mereka menguatkan Pakatan Harapan.

Mohamad juga tidak bimbang dengan lonjakan bilangan kerusi wakil rakyat PPBM berbanding partinya.

“Paling penting bagi kami adalah menguatkan PH, terutama dengan sokongan orang Melayu di Semenanjung.

“Saya tak dengar pula pengerusi PH menjanjikan apa-apa jawatan kepada mereka,” katanya kepada pemberita di satu acara Amanah hari ini.

Dengan kemasukan muka-muka baru itu, PPBM kini mempunyai 20 kerusi di Parlimen berbanding Amanah yang ada 11 kerusi.

Terdahulu, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan PPBM meluluskan permohonan 7 bekas wakil rakyat Umno.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya bersama 6 wakil rakyat lain, Hamzah Zainuddin (Larut), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah) diraikan di satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata mereka sudah ditapis sebelum diterima masuk.

Sementara itu, Mohamad menerima 3,000 permohonan baru di satu acara malam tadi dan berkata Amanah kini mempunyai 15,000 ahli di Sabah.

“Amanah semakin diterima di Sabah sejak pembentukan kerajaan PH.”

Beliau berkata ahli dari parti-parti komponen Barisan Nasional di Tawau berminat sertai partinya.

Amanah ada 10 bahagian di Sabah, termasuk 4 bahagian yang dilancarkan hari ini iaitu di Papar, Kimanis, Putatan dan Sandakan.