MB Perak: Kerajaan ikut prosedur beri projek ladang hutan

PARIT: Kerajaan negeri memberikan kelulusan kepada sebuah syarikat untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di 2 lokasi mengikut prosedur yang ditetapkan, kata menteri besar Perak.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata keputusan juga dibuat selepas melihat latar belakang 2 pengarah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang penanaman semula ladang hutan selain mempunyai kaitan dengan syarikat yang lebih besar.

Katanya syarikat tersebut juga akan bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi mengusahakan ladang hutan untuk kawasan hutan sekunder.

“Ini boleh memberi hasil yang besar kepada negeri dalam satu tempoh yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Iskandar daerah Perak Tengah hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mempertikaikan kelulusan permit projek pembangunan ladang hutan itu di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Manjung.

Ahmad Faizal berkata semua syarikat perlu melalui prosedur dan melepasi syarat kelayakan ditetapkan Jabatan Perhutanan sebelum dibawa masuk ke mesyuarat jawatankuasa hutan bagi mendapatkan sebarang kelulusan.

Beliau turut mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menjalankan siasatan terperinci.

Pada majlis hari ini, sebanyak 99 unit rumah PPR yang dibina dengan kos RM158,000 tetapi dijual pada harga RM35,000 diserahkan kepada pemilik yang merupakan golongan B40.

Rumah itu dibina pada 29 April 2016 dan siap sepenuhnya pada 28 April tahun lalu.