Pasukan inkues Adib lawat sekitar kuil, balai bomba Subang Jaya

Koroner, Rofiah Mohammad (tengah) bersama pihak berkepentingan lain melawat lokasi Muhammad Adib Mohd Kassim didakwa diserang pada 27 November lalu.

SHAH ALAM: Koroner dan pihak berkepentingan dalam inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini melawat lokasi sekitar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, di mana anggota bomba itu didakwa diserang dalam keganasan 27 November lalu.

Koroner, Rofiah Mohamad yang tiba di Jalan Usaha menuju Lebuhraya Damansara Puchong kira-kira 11.20 pagi tadi, menghabiskan lebih 30 minit untuk mendapatkan gambaran jelas mengenai lokasi kejadian itu.

Beliau ditemani Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah, peguam keluarga mangsa serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Van EMRS dinaiki Muhammad Adib Mohd Kassim yang rosak akibat diserang perusuh akhir November lalu.

Tiga saksi, iaitu Ketua Jabatan Siasatan Trafik Subang Jaya, DSP Mohamad Nasir Drahman dan 2 anggota bomba Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor dan Ahmad Shahril Othman yang memberi keterangan pada hari pertama inkues semalam turut hadir di tempat kejadian yang dikawal ketat polis sepanjang lawatan hari ini.

Mereka melawat tempat kenderaan dibakar berdekatan Jalan Usaha, jentera pemadam (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) diserang sekumpulan individu dan lokasi Adib didakwa diserang.

Elliza yang merupakan saksi ke-2 inkues itu turut menjelaskan apa yang berlaku ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba untuk memadam kebakaran kenderaan ketika keganasan tercetus.

Mereka kemudiannya ke Balai Bomba Subang Jaya di SS17 untuk melihat jentera FRT dan EMRS yang didakwa diserang sekumpulan individu di luar Kuil Sri Maha Mariamman, November lalu.

Lawatan itu selesai 1 tengah hari tadi dan inkues akan bersambung di Mahkamah Shah Alam 2.30 petang ini.

Pada 27 November lalu, Adib, 24, yang juga anggota EMRS Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang perusuh dalam keganasan di luar kuil Hindu itu.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember lalu.

Difahamkan, 30 saksi akan dipanggil dalam inkues ini yang dijangka berlangsung selama 52 hari.