Tarian singa dan bunyi paluan gendang semakin rancak dimainkan di beberapa lokasi menandakan sambutan Tahun Baru Cina pada 5 dan 6 Februari lalu masih belum menutup tirai.

Kumpulan Kesun Lion Dance dari Kuala Terengganu juga sibuk menepati jemputan yang tidak putus-putus diterima sejak hari pertama Tahun Baru Cina.

Namun ada sesuatu yang istimewa dan menarik mengenai krew tarian singa ini. Kepantasan gerak tangan dan kaki serta kebangkitan muzik gendang oleh krew tarian singa yang melopongkan mulut para penonton sebenarnya didominasi oleh peserta Melayu tempatan.

Jaffry Omar, salah seorang daripada 26 penari tarian singa dan gendang kumpulan akui bangga menjadi sebahagian krew tarian singa tersebut.

Dia bersama 13 lagi peserta yang berbangsa Melayu percaya antara kumpulan terawal dan terbesar dengan sejumlah besar orang bukan Cina dalam krew tarian singa ini.

“Sudah 21 tahun saya mengikuti kumpulan ini untuk membuat persembahan. Minat yang mendalam dengan budaya Cina serta keunikan tarian yang memerlukan kebijakan mengawal kaki dan tangan pada masa sama memahami keperluan semasa terus melekatkan saya dengan tarian ini,” ujar Jaffry yang kini berusia 33 tahun.

Jaffry (kiri) bermain muzik sebelum memulakan persembahan tarian singa.

Jaffry menambah, selain 14 peserta Melayu, kumpulan itu juga mempunyai 9 peserta Cina, seorang India dan 2 orang berketurunan Siam menjadikan jumlah keseluruhan Kesun Lion Dance seramai 26 orang.

“Perbezaan bangsa dan agama tidak pernah menghalang kami beraksi dalam apa jua situasi malah kami saling menghormati antara satu sama lain dan sentiasa bekerjasama.

“Tarian singa dan gendang hanya bermusim dan diadakan pada setiap Tahun Baharu Cina dan ia menjana pendapatan yang baik sepanjang menjayakan tarian itu,”ujarnya yang menerima tempahan dari seluruh negara.

Bercakap mengenai upah yang diterima, Jaffry berkata ia tidak menentu, tertakluk kepada pihak yang menjemput. “Kami pernah menerima upah RM50 untuk sekali persembahanan manakala bayaran yang paling tinggi diterima ialah RM1,700.”

Jaffry menjadi penari di bahagian ekor singa berkata, akan melakukan latihan berkali-kali bersama ahli kumpulan sebagai persediaan sebelum persembahan sebenar.

Dia juga akui pernah mendapat tentangan daripada ibunya sewaku mula menjinakkan diri dalam tarian ini, namun pujukan bertubi-tubi berjaya mengubah hati beliau.

“Saya tinggal di Kampung Cina di Kuala Terenganu dan bersekolah di Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa Wei Sin. Semua itu mendorong saya memahami kebudayaan Cina dengan lebih dekat dan mendalam,” ujar anak bongsu daripada 6 beradik.

Alex Ong

Sementara itu, Presiden Kumpulan Kesun Lion Dance, Datuk Alex Ong menjelaskan, tarian singa hanyalah satu bentuk persembahan kebudayaan dan tidak salah untuk orang bukan Cina mempraktisnya. Malah beliau yakin ia tidak sama sekali menyalahi agama atau bertentangan dengan kepercayaan.

Jelas beliau, tarian singa yang disertai Melayu dan India serta Siam adalah bukti perpaduan masyarakat majmuk yang dibina di negara ini selain satu bentuk gerakan fizikal yang menyihatkan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]