Polis kaji SOP Nur Alert susulan pembunuhan kanak-kanak Kemboja

(Gambar Bernama)

SEMENYIH: Tatacara operasi standard (SOP) yang dipraktikkan polis berkenaan penggunaan talian kecemasan Nur Alert akan dikaji semula susulan kes pembunuhan kanak-kanak perempuan Kemboja berusia 11 tahun, Siti Masyitah Ibrahim.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Nur Alert akan lebih peka kepada mana-mana kehilangan kanak-kanak tidak kira sama ada berstatus warganegara ataupun tidak.

“Siasatan kes kehilangan juga memang diambil perhatian serius sama seperti siasatan untuk kes bunuh.

“Kita akan tengok balik SOP untuk Nur Alert, kita akan pastikan laporan kehilangan tidak dibuat secara sambil lewa,” kata katanya selepas menghadiri majlis lawatan kerja Tan Sri Muhyiddin Yassin di Batalion 4 Pasukan Gerakan Awam hari ini.

Nur Alert adalah sistem untuk menyebarkan maklumat dengan cepat bagi membantu mengesan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang hilang.

Sebelum ini, Ketua Polis Pekan Amran Sidek berkata Nur Alert tidak diaktifkan ketika Siti Masyitah dilapor hilang di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, kerana ibu bapa mangsa merupakan warga asing dan tiada pengenalan diri.

Namun, Ketua Polis Pahang Mohd Zakaria Ahmad berkata tiada kanak-kanak yang terkecuali daripada Nur Alert meskipun bukan warganegara.

Noor Rashid hari ini berkata fungsi sistem itu menerima apa jua jenis aduan kehilangan termasuk warga emas dan bukan warganegara.