Polis: ‘Nur Alert’ untuk semua kanak-kanak termasuk warga asing

Sistem Nur Alert dikatakan tidak diaktifkan terhadap kehilangan Siti Masyitah Ibrahim.

PETALING JAYA: Polis memberi jaminan amaran awal kehilangan kanak-kanak atau National Urgent Response Alert (Nur Alert) bagi membantu mencari kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang hilang akan diaktifkan, walaupun mereka tiada pengenalan diri.

Ketua Polis Pahang Mohd Zakaria Ahmad berkata tiada kanak-kanak akan terkecuali daripada mendapatkan bantuan dari sistem tersebut meskipun dia bukan warga Malaysia.

“Sama ada mempunyai dokumen atau tidak, kita boleh menggunakan Nur Alert untuk kita uar-uarkan, tidak kisah dia siapa,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Pekan, Supritendan Amran Sidek berkata, sistem Nur Alert tidak diaktifkan terhadap kehilangan seorang kanak-kanak berumur 11 tahun di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, sejak 30 Januari lalu kerana ibu bapa mangsa merupakan warga asing dan tiada pengenalan diri.

“Mangsa dan ibu bapanya tiada pengenalan diri, jadi kami tidak tahun latar belakang mereka. Kami hanya tahu mereka tinggal lama tinggal di Pekan.

“Sejak dilaporkan hilang, polis bersama penduduk mengesan kampungnya. Kami tidak mengaktifkan Nur Alert atau membuat sebarang hebahan tetapi buat apa yang diperlukan bagi mencari mangsa, termasuk menyebarkan berita melalui sumber lain,” katanya memetik laporan sebuah portal.

Media semalam melaporkan mayat mangsa, Siti Masyitah Ibrahim, 11, ditemui dalam keadaan tragis selepas hilang 11 hari di ladang sawit Kampung Tanjung Medang Hilir.

Kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada 30 Jan lalu sebelum ditemui kira-kira 5 petang semalam oleh penduduk kampung.

Seorang wanita Kemboja percaya mayat tersebut adalah anaknya.

“Baju dia sama dengan baju yang anak saya pakai semasa dia keluar rumah untuk ke kedai,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Tanjung Medan Kemahang yang terletak tidak jauh dari kawasan penemuan mayat.

Menurut Zaleha Abdullah, 35, dia membuat laporan polis pada hari yang sama (30 Jan) selepas anak ke-3 daripada 4 beradik itu gagal pulang ke rumah.

Sementara itu, Zakaria menafikan kenyataan Amran dan berkata mungkin wujud salah faham dalam perkara tersebut.

Jelasnya, tidak ada masalah bagi polis mengaktifkan talian Nur Alert kepada semua kanak-kanak yang hilang kerana ia sekadar bertujuan membantu mencari mangsa.

“Walaupun dia warga asing, kalau dia ada gambar atau apa-apa kita boleh menggunakan Nur Alert untuk uar-uarkan, tiada masalah,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, menerusi satu catatan di Twitter berkata, sistem Nur Alert boleh diaktifkan untuk semua kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang hilang meskipun tiada pengenalan diri.

Nur Alert adalah sistem untuk menyebarkan maklumat dengan cepat bagi membantu mengesan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang hilang.