Polis tembak mati 2 anggota sindiket culik warga asing

Polis juga berjaya menyelamatkan seorang warga Bangladesh berusia 30-an yang diculik di sekitar Sentul, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga asing dipercayai anggota sindiket penculikan warga asing mati ditembak polis dalam satu kejadian tembak-menembak di Taman Mudun, Batu 9, Cheras, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata kejadian 1.35 pagi itu melibatkan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur yang membuat serbuan ke atas sebuah rumah, selepas menerima maklumat berhubung kes penculikan seorang warga asing.

“Suspek-suspek yang ditumpaskan dipercayai sindiket penculikan warga asing yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Selain itu, seorang mangsa culik warganegara Bangladesh berusia 30-an telah diselamatkan. Lelaki itu diculik Jumaat lepas di sekitar Sentul.

“Pemeriksaan ke atas 2 suspek itu tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri. Polis turut menemui pistol 9mm dan parang yang digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, seorang daripada suspek yang ditembak mati itu dipercayai dalang utama sindiket terbabit dan pihaknya sedang mengenal pasti identiti kedua-dua suspek.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.