Putrajaya tak campur urusan Felda lepas pegangan Eagle High, kata Azmin

SUBANG JAYA: Putrajaya tidak akan mencampuri urusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dilapor bercadang melepaskan pegangan dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations (Eagle High), kata Datuk Seri Azmin Ali.

Pembelian 37% kepentingan dalam syarikat peladangan dan pengilangan sawit itu pada 2017 oleh Felda daripada Kumpulan Rajawali, milik Peter Sondakh, yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mengundang kontroversi.

Menteri hal ehwal ekonomi berkata hal melepaskan kepentingan itu diputuskan oleh lembaga pengarah Felda selepas melihat perkara berkenaan secara mendalam.

“Biarlah proses ini berjalan dahulu dan mereka boleh selesaikan perkara ini secara baik,” katanya kepada pemberita di sambutan Tahun Baru Cina hari ini.

Terdahulu, akhbar Straits Times Singapura melaporkan Felda menerusi surat bertarikh 3 Januari lalu kepada Kumpulan Rajawali menuntut kembali AS$500 juta (RM2.03 bilion) yang ia laburkan ke dalam ladang sawit dan aset-aset pengilangan gula di Indonesia pada Mei 2017.

Lembaga pengarah Felda dilapor mengambil pilihan itu atas alasan pihak di Indonesia gagal memenuhi syarat-syarat penting yang disetujui dalam transaksi asal.

Pegawai kerajaan Malaysia yang terlibat secara langsung dalam penstrukturan semula kumpulan Felda mengesahkan Kumpulan Rajawali memaklumkan Felda ia mahu mencabar keputusan Felda di mahkamah.