Santiago gesa kerajaan wajibkan saringan awal kesan kanser

Charles Santiago berkata sudah tiba masanya kerajaan menjalinkan usahasama dengan syarikat swasta yang membekalkan ubat-ubatan bagi merawat kanser.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menggesa Kementerian Kesihatan mewujudkan satu peraturan bagi mewajibkan setiap individu berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun membuat saringan awal bagi penyakit kanser.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan rakyat tidak lagi dikesan menghidapi penyakit itu setelah berada di tahap akhir.

“Menteri mengatakan ramai pesakit dikesan menghidapi penyakit kanser selepas berumur 50 ke 60 tahun kerana mereka takut dan sebagainya.

“Saya rasa apa yang perlu mereka lakukan bukan dengan membuat pengesanan kanser ketika umur 50 tahun, tetapi lebih awal. Dengan cara itu ia mampu memanjangkan umur pesakit kanser dan mengurangkan beban terhadap penjagaan kesihatan,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye mengakui penyakit kanser makin bertambah kerana ramai golongan tua, sementara rawatannya pula melibatkan perbelanjaan besar.

“Kita dapati banyak kes kanser dalam negara ini dikesan pada peringkat akhir. Sebab itu kita perlukan pengesanan awal.

“Kita (kerajaan) menggalakkan orang ramai membuat pemeriksaan awal, tetapi terdapat persepsi ketakutan orang ramai terhadap rawatan kanser. Mungkin itulah sebabnya orang tidak mahu menjalani pemeriksaan awal,” katanya.

Mengulas lanjut, Santiago berkata sudah tiba masanya kerajaan menjalinkan usahasama dengan syarikat swasta yang membekalkan ubat-ubatan bagi merawat kanser.

Katanya, usahasama itu penting agar ubat-ubatan bagi penyakit tersebut boleh diperoleh dengan harga lebih murah kerana ramai pesakit terbeban dengan kos ubat dan rawatan yang terlalu mahal ketika ini.

“Statistik menunjukkan 30% pesakit kanser berputus asa untuk membeli ubat di satu tahap kerana ia terlalu mahal.

“Saya fikir adalah satu usaha yang baik jika semua syarikat farmasi yang menghasilkan ubat kanser untuk bersama membantu kerajaan bagi mengurangkan beban pesakit.”

Tambahnya, tidak adil jika kerajaan hanya memberi fokus kepada pesakit dari golongan berpendapatan rendah (B40) tanpa mempedulikan pesakit dari golongan pertengahan (M40) dan berpendapatan tinggi (T20).

Pesakit dari 2 kumpulan itu, katanya, juga memerlukan bantuan kerana mereka pasti mengalami masalah kewangan selepas terlalu lama membuat rawatan bagi merawat penyakit yang sedang dihidapi.

“Banyak ubat-ubatan yang sangat mahal, 2 3 bulan yang lalu saya cuba mencari wang untuk membantu seorang pesakit ini yang menghidapi kanser payudara, saya lupa nama ubat-ubatan itu tetapi hanya ada 5 tablet tetapi harganya RM580. Ia sangat mahal.

“Walaupun pesakit itu berada di kelas menengah atau tinggi, dia juga akan rasa terbeban bila banyak kali buat rawatan. Kita tahu kos rawatan bagi penyakit kanser ini sangat mahal.”