Shabudin Yahaya, 6 lagi kini ahli PPBM

(Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya bersama 6 wakil rakyat lain, diterima masuk PPBM hari ini.

Shabudin bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Tanah Merah) kini ahli PPBM.

Kemasukan mereka diumumkan pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Ketujuh-tujuh ahli Parlimen bekas Umno itu memohon untuk menyertai PPBM pada Disember lalu.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemerimaan mereka bukan bermaksud untuk memberi perlindungan kepada mereka.

Perdana menteri tegaskan, mereka tidak akan mendapat apa-apa jawatan, tetapi dimanfaatkan dengan tugas tertentu.

“Kita juga akui PPBM untuk Melayu dan Bumiputera. Sebab rasa tak selamat jika tak ada parti wakil Bumiputera dan Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menangkis dakwaan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi menunjukkan para menteri tidak berjaya menangani isu ekonomi.

Beliau berkata walaupun para menteri menjalankan tugas, mereka perlu mendengar pandangan daripada pihak luar.

“Saya tubuhkan juga majlis ini sebab perlu dengar pandangan lain. Jika kita hanya dengar pandangan sendiri kita tidak tahu mana yang tidak betul.

“Kita gunakan majlis ini untuk dapatkan maklum balas dan idea untuk selesaikan masalah. Kita fokus pembangunan ekonomi,” katanya.

Terdahulu, Datuk A Kadir Jasin berkata, penubuhan majlis tersebut adalah pengakuan bahawa jentera sedia ada, khususnya jemaah menteri, tidak memadai bagi menangani isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat, walaupun selepas 9 bulan mentadbir negara.

Kadir, dalam blognya berkata, tidak perlu berdolak-dalik semakin ramai orang kecewa dengan prestasi Pakatan Harapan yang belum menampakkan hasil yang boleh dirasakan rakyat.

Kadir adalah penasihat khas kepada pedana menteri mengenai media dan komunikasi, tetapi memberi pandangan tersebut atas kapasiti pribadi.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan 16 nama anggota Majlis Tindakan Ekonomi, yang bertujuan merancak dan merangsang pertumbuhan ekonomi, pengagihan kekayaan sama rata dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antara anggotanya ialah ahli ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram, Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek dan bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz.