Syed Saddiq: Kami tak salur seringgit pun pada pelari solo Suwaibah

Suwaibah Muhammad Nasir memerlukan kira-kira RM4 juta untuk melengkapkan siri Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia. (Gambar Bernama)

SERI KEMBANGAN: Kementerian Belia dan Sukan tidak pernah memberi sebarang dana kepada pelari solo negara, Suwaibah Muhammad Nasir yang memerlukan kira-kira RM4 juta untuk melengkapkan siri Jelajah Kemanusiaan Menakluk 30 Menara Tertinggi Dunia, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Kita tak ada salurkan seringgit pun, cuma dia kata kalau boleh carikan dana untuk dia, tapi itupun kita katakan kita tak mampu,” kata menteri belia dan sukan itu selepas merasmikan Anugerah Pencapaian Cemerlang (ACP) kementeriannya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai atlet “tower running”, Soh Wai Ching yang mempertikaikan kerajaan tidak membantunya, walaupun berada di kedudukan ke-5 dunia dan pertama di Asia berdasarkan ranking Tower Running World Association (TWA).

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sebelum ini merasmikan majlis memperkenalkan Suwaibah dan menyerahkan Jalur Gemilang kepadanya selaku penaung misi keamanan dalam usaha menyokong wanita itu menjayakan misinya.

Bagaimanapun, Mohamad dan Kementerian Pertahanan semalam menafikan pernah menaja Suwaibah RM4 juta bagi menyempurnakan misi solonya.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, ia hanya memberi sokongan kepada usaha Suwaibah, tetapi tidak menyebut bentuk sokongan itu dan mereka sedia menyokong usaha baik dilakukan sesiapa sahaja.

Suwaibah memerlukan dana itu untuk menampung kos tinggi penginapan, tiket penerbangan, permohonan visa dan perkara berkaitan bagi melengkapkan misinya.

Soh bagaimanapun menyifatkan dana RM4 juta yang diperlukan Suwaibah “mengarut” kerana beliau hanya memerlukan kira-kira RM80,000 sepanjang tahun ini dan masih menunggu surat pengiktirafan sebagai atlet kebangsaan seperti dijanjikan kementerian kepadanya.

Hari ini, Syed Saddiq berkata, KBS akan sentiasa bersama dan berusaha membantu atlet negara.

“Jangan pandang rendah kepada atlet. Mereka semua bersama dengan kita. KBS akan bantu apa yang terbaik untuk mereka.”

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata, KBS dalam proses menentukan tarikh penganjuran acara lumba basikal bertaraf antarabangsa, Le Tour de Langkawi (LTdL) dalam masa terdekat.

“Kita baru selesaikan (mengenai) tarikh yang sesuai. Ia akan dimaklumkan dalam masa terdekat.”