Tauliah khas kawal lambakan penceramah bebas, kata mufti

Mohd Tamyes Abd Wahid. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Pertauliahan khas yang dikeluarkan jabatan agama Islam negeri masih relevan dalam mengekang “lambakan” penceramah bebas di mana-mana platform termasuk media sosial, kata Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Individu yang tidak memiliki tauliah khas sebagai penceramah agama dilarang menyampaikan ceramah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, terdapat peraturan khusus yang dikuatkuasa di setiap negeri bagi mengekang individu tidak mempunyai tauliah menyampaikan ceramah agama bagi mengelak timbulnya sebarang kekeliruan.

“Kita bukan untuk menyekat orang berdakwah tetapi lebih baik seorang penceramah itu mempunyai tauliah khas kerana kita yakin, mereka adalah orang berpandangan akidahnya ahli Sunnah Wal Jamaah dan bukan bidaah,” katanya kepada Bernama.

Tamyes berkata masyarakat juga perlu main peranan dengan melaporkan sebarang aktiviti ceramah agama daripada penceramah yang tidak bertauliah dan boleh melakukan semakan senarai penceramah bertauliah di laman web jabatan agama Islam negeri.

Isu penceramah agama didebat dalam kalangan warganet yang mempersoalkan kelayakan segelintir “pendakwah” kerana dilihat amat terbuka membincangkan soal agama khususnya melibatkan hukum-hukum tanpa latar belakang akademik bidang agama yang boleh dipercayai.

Ramai mendakwa ada individu menggunakan panggilan “ustaz” untuk menyampaikan ceramah agama, sedangkan maklumat yang dikongsi didakwa hanya berdasarkan pengalaman atau pendapat sendiri dan bukannya berpandukan dalil Al-Quran serta hadis sahih.

Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) menyatakan sesiapa yang mengajar atau berceramah tanpa tauliah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, seksyen itu tidak diguna pakai bagi individu yang mengajar atau berceramah di kediaman sendiri untuk anggota keluarganya.

Berdasarkan Seksyen 118(3) enakmen sama, kategori tauliah terdiri daripada tauliah mengajar atau berceramah, tauliah mengajar fardu ain, tauliah mengajar Al-Quran dan tauliah khas iaitu bagi individu bukan dalam kalangan orang agama tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing seperti pembangunan, keusahawanan dan kedoktoran.

Pengerusi Pembangunan Pondok Malaysia, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengakui “lambakan” penceramah bebas di laman sosial terutamanya perlu dipantau dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) wajar menubuhkan badan khas memantau dan mengawal keadaan ini.

“Cadangan ini juga baik kerana boleh memantau fahaman penceramah itu dan dapat menyekat mereka daripada menyimpang masyarakat kepada sesuatu yang tidak baik,” katanya.

Mashitah mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau penceramah agama di laman sosial.

Tinjauan Bernama mendapati, rata-rata orang awam mencadangkan sijil pertauliahan dikemukakan sebagai bukti penceramah itu mempunyai kelayakan akademik dalam bidang agama untuk berceramah dalam majlis mahupun di mana-mana platform media.

Pegawai pemasaran, Siti Aisyah Maimunah Ja’afar, 24, berkata sijil perakuan khas itu wajar diselaraskan di seluruh negeri supaya hanya penceramah diperakui sahaja boleh memberi ceramah.

“Dengan sijil khas itu, kita dapat pastikan mereka bertauliah, berintergriti, akauntabiliti, sudah disaring oleh jabatan agama dan mempunyai latar belakang pendidikan bidang agama yang kuat untuk berceramah di mana-mana sahaja.

“Soal agama bukan perkara mudah, jika ilmu yang diajar salah ada kemungkinan seseorang itu sesat atau amalkan perkara yang salah,” katanya kepada Bernama.

Penjawat awam, Mohd Nor Alhadi Mat Yaacob, 30, berpendapat sijil tauliah itu akan memudahkan masyarakat membuat semakan.

“Pada saya wajib ada tauliah, takut nanti apa yang disampaikan tidak mengikut syariat Islam dan memesongkan akidah. Jabatan agama juga wajar memantau penceramah khususnya mereka yang masih baru dan ceramah dalam laman sosial seperti Facebook Live,” katanya.