Ahli Parlimen wanita berjuang ubah nasib gadis bawah umur di Jordan

(Gambar AFP)

BEIRUT: Seorang ahli Parlimen Jordan dipuji atas peranannya memansuhkan undang-undang yang membiarkan perogol bebas daripada hukuman jika mereka mengahwini mangsa melalui perkahwinan bawah umur.

Hampir 10,500 kanak-kanak perempuan di Jordan berkahwin sebelum mereka mencapai umur 18 tahun pada 2017, menurut angka terkini dari UNICEF.

Gadis di Jordan boleh berkahwin dari usia 15 tahun dengan persetujuan hakim, walaupun usia perkahwinan yang sah adalah 18 tahun. Ahli Parlimen Wafa Bani Mustafa berkata menaikkan usia perkahwinan kepada 16 tahun akan mengurangkan jumlahnya.

“Ini bukan pengecualian. Ini adalah sesuatu yang berlaku setiap hari, dan terlalu ramai gadis muda akan berkahwin,” kata wanita berusia 39 tahun itu kepada Yayasan Thomson Reuters semasa lawatan ke Beirut,
baru-baru ini.

“Saya sangat optimis perkahwinan kanak-kanak akan berkurangan jika kita ubah umur kepada 16 tahun. Tidak kira jika mereka orang Jordan atau Syria – kita perlu melindungi semua gadis.”

Sebahagian besar dipercayai gadis Syria menjadi pelarian di Jordan sejak perang saudara tercetus dan keluarga mengahwinkan mereka untuk mendapat jaminan kewangan dan perlindungan daripada keganasan seksual.

Beratus-ratus ribu rakyat Syria melarikan diri dari negara mereka sejak perang yang bermula pada 2011 dan kini lebih 670,000 pelarian Syria berdaftar di Jordan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jika anda tidak cukup umur untuk mengundi atau memandu kereta – bagaimana anda boleh berkahwin dan membina keluarga,” kata Wafa, salah seorang daripada 20 wanita di 130 kerusi Dewan Rakyat Jordan.

“Kita perlu ubah budaya dengan menaikkan usia pengecualian kepada 16 tahun – maka secara perlahan mungkin ini akan menjadi langkah pertama untuk menjadikannya 18 tahun tanpa pengecualian.”

Pada 2017, Parlimen Jordan mengundi untuk memansuhkan undang-undang yang membenarkan perogol terlepas daripada hukuman dengan menikahi mangsa, selepas kempen selama setahun yang diketuai Wafa.

Di Jordan, Wafa berkata terdapat peruntukan undang-undang untuk melindungi pengantin kanak-kanak – termasuk jurang umur maksimum 15 tahun dan syarat mereka dibenarkan menyambung pendidikan – tetapi ia tidak dipatuhi.

“Saya akan terus berjuang untuk wanita Jordan – tiada apa yang akan menghalang saya. Kita berhak mendapat kehidupan yang lebih baik dan hak sama rata dengan lelaki. Ia tidak mudah, tetapi kita perlu terus berjuang,” katanya.

“Saya fikir hak wanita perlahan-lahan berubah di Jordan.”

caption: (gambar wafa bani mustafa)
Wafa Bani Mustafa akan terus berjuang untuk wanita Jordan bagi mendapat kehidupan yang lebih baik dan hak sama rata dengan lelaki.