Ahmad Sarji kembali terajui Ikim

Ahmad Sarji Abdul Hamid. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Bekas ketua setiausaha negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dilantik sebagai pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) yang baru berkuat kuasa 4 Februari.

Menurut Ikim dalam kenyataan hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Ahmad kerana beliau berpengalaman luas dan cemerlang dalam menerajui pelbagai badan kerajaan dan organisasi di sektor awam, korporat, agama, pendidikan, budaya dan sukan sejak 1961 sehingga kini.

“Pada 2018 beliau telah dilantik oleh perdana menteri sebagai pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam.

Ahmad yang merupakan pengasas institusi ini dilantik menjadi pengerusi yang pertama pada 1992.

Pada masa sama, Dr Mahathir turut melantik Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman sebagai naib pengerusi berkuat kuasa pada tarikh sama.

“Ghazali mempunyai pengalaman yang amat luas dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam dan antara lain merupakan ahli Majlis Pakar Pelbagai Disiplin (Syariah) di Jabatan Peguam Negara Malaysia,” katanya.

Warga kerja IKIM merakamkan setinggi penghargaan kepada Dr Mahathir di atas kedua-dua pelantikan ini.

Sebelum ini, jawatan pengerusi disandang bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjawat jawatan tersebut pada 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2018.

Naib pengerusi, Tan Sri Muhammad Ali meninggal dunia pada 31 Oktober 2017.