Anggota saya ketakutan bila trak diserang perusuh, kata penyelia bomba

Badrul Hisham Salleh berkata, 7 anggota dalam trak bomba dan 2 anggota dalam van EMRS tiba di tempat kejadian kira-kira 1 pagi 27 November lalu.

SHAH ALAM: Penyelia operasi bomba Subang Jaya, Badrul Hisham Salleh menceritakan bagaimana anggotanya ketakutan semasa rusuhan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, pada 27 November lalu.

Katanya, 7 anggota dalam trak bomba dan 2 anggota dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba kira-kira 1 pagi dan ternampak sekumpulan individu di sekeliling sebuah kereta terbakar.

“Kami menghentikan trak bomba kira-kira 20m dari kereta terbakar, tetapi kami nampak sekumpulan individu datang ke arah trak dalam keadaan mencurigakan.

“Saya mengarahkan anggota tidak turun dari trak, tetapi 2 anggota, Hazim dan Anuar, keluar dari trak sebab mereka mahu memadamkan kereta terbakar,” katanya dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Saksi ke-5 inkues itu berkata, beliau segera meminta pasukannya memanggil kedua-dua anggota yang berada di luar itu kembali ke jentera.

“Ketika itulah mereka mula melemparkan batang kayu dan batu. Ketika itu, pemandu trak kami mula mengundurkan kenderaan.”

Badrul Hisham berkata, beliau diberitahu hanya Anuar yang sudah kembali ke trak itu dan beliau takut kerana cermin depan trak sudah retak.

“Saya takut dan berpegang pada pintu di sebelah saya. Orang di luar mula memukul pintu. Ia kuat dan menakutkan. Saya terus memandang ke belakang dan ke sisi. Saya tidak dapat melihat di hadapan kerana cermin sudah hampir hancur.

“Saya tidak dapat memberitahu berapa ramai orang di sekitar kawasan tersebut kerana tidak mempunyai pandangan yang jelas.”

Katanya, dia terdengar bunyi seperti melanggar sesuatu ketika trak mengundur.

“Saya rasa seperti terlanggar sesuatu. Keadaan huru-hara di luar trak.

“Apa yang boleh dilakukan ketika itu adalah meminta bantuan polis, namun ketika kami membuat panggilan polis, Hazim sudah bersama kami, tetapi Adib tiada,” katanya.

Badrul Hisham juga cuba berkomunikasi dengan pasukan EMRS, namun tidak dapat berbuat demikian sebelum dan selepas kejadian kerana mereka tidak menggunakan radio dan tidak menjumpai telefon bimbitnya.

“Semasa perjalanan ke balai polis pun saya tidak tahu Adib tidak berada dalam kenderaannya. Jadi, kami meminta polis pergi ke tempat kejadian dan mencari Adib.”

Katanya, mereka kemudiannya diberitahu Adib sudah dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya.

Beliau membuat laporan polis mengenai kecederaan Adib berdasarkan kenyataan seorang saksi yang juga pemandu van EMRS dinaiki Adib, Ahmad Shahril Othman pada hari kejadian.

“Kami menganggap jika perusuh cuba membuka pintu pemandu, iaitu Shahril, mereka akan melakukan perkara yang sama kepada Adib.

“Jadi, kami menyatakan dalam laporan Adib cedera kerana dia ditarik keluar dari van dan dipukul, tetapi kami kemudian memberitahu polis, kami tidak nampak Adib dipukul.”

Beliau berkata, anggotanya mengalami trauma dan tidak terfikir mengubah kenyataan dalam laporan dibuat di Balai Polis Subang Jaya SS13.

Adib, 24, yang merupakan anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam keganasan di luar kuil Hindu itu, pada 27 November lalu.