Guan Eng: Syarikat judi taja lawatan kerja ketua polis negara ke Turki

Gambar yang dimuat naik sebuah agensi pelancongan ke Facebook menunjukkan Mohamad Fuzi Harun (9 dari kanan) mengetuai rombongan lawatan kerja ke Turki, bergambar di luar Hotel Hagia Sophia di Istanbul. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Syarikat perjudian, Da Ma Cai yang menaja rombongan lawatan kerja diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merujuk beberapa gambar menunjukkan peserta bersiar-siar dan menjamu selera di Istanbul.

Lim berkata, kementeriannya tidak menanggung kos lawatan kerja itu, walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata, ia ditaja Lembaga Totalisator Malaysia, sebuah badan berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

“Ini sesuatu yang saya tidak tahu langsung. Ini tidak diluluskan oleh MOF (Kementerian Kewangan). Ini diluluskan sendiri oleh¬†Totalisator Board.

“Sumbernya bukan daripada MOF. Sumbernya datang daripada Da Ma Cai, sebuah syarikat nombor ramalan. Jadi, dia tak dapat 1 sen, 1 kupang daripada kami,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

Delegasi itu dilaporkan ke Turki untuk mempelajari dasar perjudian dalam talian.

Semalam, Sarawak Report menyiarkan gambar Fuzi dan beberapa pegawai kanan polis menyertai rombongan itu.

Menurut laporan itu, 16 pegawai kanan menyertai lawatan kerja itu yang menelan belanja lebih RM300,000 untuk menaiki penerbangan kelas perniagaan dan penginapan di hotel 5 bintang.