Apa sahaja “hari” khas yang disambut pasti akan disudahi dengan pemberian hadiah.

Hari ibu, bapa, hari lahir, hari kekasih dan sebagainya, ada sahaja hadiah pemberian yang dinanti-nantikan oleh individu yang disambut itu.

Lagipun, apalah gunanya jika individu yang disambut tetapi tidak diberikan hadiah. Seolah tidak lengkap pula sambutan.

Namun pada kebanyakan masa kekangan kewangan atau jenis hadiah yang menepati bajet menjadi kebimbangan utama.

Esok, pasti sudah ada bermacam-macam rancangan menyambut hari kekasih dengan mereka yang tersayang tetapi jangan lupa kepada syarat penting, “hadiah”.

Bagi mereka yang kesempitan wang, jangan risau kerana kami di FMT Ohsem melakukan sedikit survei di pusat beli-belah, mencari idea hadiah yang sesuai, lebih penting dalam bajet RM100 sahaja.

Mari kita lihat antara hadiah tersebut:

1. Hamper DIY

Jika anda pasangan yang baru bercinta dan tidak tahu barangan kegemaran si dia, bolehlah berusaha menunjukkan kreativiti dengan mengubah hamper “custom made” sendiri.
Ia bukan sahaja menjimatkan malah anda boleh memilih hadiah yang akan diberikan.
Jika anda memiliki bajet yang besar tidak salah buat hamper yang lebih besar tetapi jika di sebaliknya, buatlah secara ikhlas janji pasangan anda gembira.
Paling mudah, penuhkan hamper itu dengan makanan seperti coklat dan biskut kegemaran, tapi boleh juga meletakkan beberapa barangan lain yang boleh digunakan bila-bila masa seperti tuala, wangi-wangian atau buah-buahan.

2. Percutian hujung minggu

Bagi yang sudah “senior” dalam soal bercinta, anda mungkin buntu memikirkan hadiah untuk hari kekasih ini kerana sepanjang anda bercinta macam-macam sudah dibelikan.
Apa kata anda mencuba kelainan dengan menghadiahkan percutian ke destinasi menarik sekitar bandar anda atau ibu kota? Bagi mereka yang mempunyai bajet besar anda boleh menempah untuk bercuti jauh seperti pulau atau lokasi pelancongan terkemuka lain.

3. Pakaian

Sudah tentu, ia menjadi hadiah universal untuk apa jua acara. Bila ketandusan idea mencari hadiah yang sesuai, pakaian tidak menghampakan. Pilihlah pakaian yang bergaya dan selesa, kalau boleh mengingatkan anda kepada si dia. Anda boleh memilih warna kesukaan anda berdua, corak yang mengenangkan sesuatu, baju yang tertulis abjad nama pasangan dan sebagainya.
Lelaki mahupun wanita, banyak koleksi di kedai fesyen yang boleh dipilih, lagipun banyak jualan murah diteruskan selepas Tahun Baru Cina.

4. Pewangi

Pewangi juga sesuai dan paling popular sebagai hadiah, cuma pastikan anda dipilih mengikut kemampuan. Rangkaian kedai penjagaan diri misalnya menawarkan pakej yang bersesuaian mengikut bajet dan citarasa anda, minta sahaja pekerja mengubah bagi menampakannya lebih eksklusif.
Anda boleh pilih wangian yang terdiri daripada pelbagai produk seperti mandian, pelembap dan semburan yang berharga kurang RM100.

5. Suplemen kesihatan

Bagi yang mementingkan kesihatan, hari kekasih boleh digunakan untuk menyampaikan rasa ambil berat anda terhadap pasangan. Hadiahkan dia suplemen tambahan untuk kecergasan minda dan tampil bertenaga sepanjang masa.
Botol sup ayam, ikan haruan misalnya, boleh diberikan sebagai makanan tambahan kepada si dia.
Selain itu ada pelbagai suplemen berbentuk tepung susu, sachet atau pil untuk lelaki dan wanita yang sesuai dijadikan hadiah.

6. Baju kemeja

Walaupun nampak ringkas, tetapi ia juga salah satu hadiah yang sangat bermakna dan menepati bajet. Tawaran yang berpatutan di butik-butik sederhana mewah, menawarkan baju kemeja berjenama pada harga sekitar RM79 hingga RM99.

7. Kasut

Hadiahkan kasut untuk si dia sempena hari kekasih ini. Walaupun terpaksa mengeluarkan kos yang lebih tinggi, tapi berbaloi demi orang yang disayangi. Ada banyak jenis kasut selain untuk bergaya anda boleh mempertimbangkan kasut berjalan, kasut sukan dan kasut kesihatan yang mempunyai potongan khas. Jika rajin mencari, anda boleh mendapatkannya pada harga kurang RM100.

8. Biskut dan coklat

Coklat adalah pemberian yang biasa untuk pasangan, tapi lebih istimewa jika diberikan sempena hari kekasih. Selitkan juga patung beruang yang comel.

9. Tali leher

Jika teman lelaki atau rakan istimewa anda sering ke pejabat lengkap bertali leher, maka anda boleh tambahkan koleksi tersebut sebagai hadiah. Bertambah tampanlah si dia gayakannya ketika menghadiri mesyuarat atau berjumpa orang penting. Lazimnya tali leher boleh didapati dalam pelbagai harga, kurang RM100, dan jika menepati bajet, jangan lupa pasangkan bersama klip tali leher dan kafling.

10. Tas tangan

Ini merupakan keperluan yang mesti dimiliki setiap wanita. Beli tas tangan yang menepati citarasa dan pastikan ia menepati keperluannya. Jika teman wanita anda seorang yang berjiwa bebas, beg junjung, beg cross body dan boho paling sesuai.

Semoga panduan ini dapat membantu anda jika belum membuat keputusan atau masih tercari-cari hadiah sesuai sempena hari kekasih esok.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]