Inkues: Saya nampak Adib dalam kesakitan, kata saksi

Amirrul Adli M Yussli berkata, Muhammad Adib Mohd Kassim masih dalam keadaan sedar sebelum dibawa beberapa individu ke lokasi lain.

SHAH ALAM: Saksi ke-4 dalam inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, ternampak anggota bomba itu duduk di bahu jalan dan mengerang kesakitan, pada malam keganasan berlaku di luar Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, November lalu.

Pelatih pramugara AirAsia, Amirrul Adli M Yussli, 26, berkata beliau dan rakannya, Azfar Jamili Bakar Jamili dalam perjalanan ke Putra Heights, sebelum bertembung sekumpulan individu di tempat kejadian.

“Kami kemudian menghentikan kereta kerana jalan tidak boleh dilalui, kami tidak tahu apa yang sedang berlaku dan nampak kereta terbakar.

“Kami kemudian bertanya beberapa orang di situ, apa yang sedang berlaku dan mereka kata sekumpulan orang telah menyebabkan kekecohan di kuil,” katanya dalam inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Amirrul kemudian menghentikan kenderaannya di tepi jalan dan ternampak beberapa orang berbual serta minum arak sambil mengelilingi kereta terbakar.

“Saya melihat trak bomba dan van EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) menuju ke arah kereta terbakar, tetapi orang-orang yang berada di situ meminta mereka tidak memadamkan api.

“Kemudian, kira-kira 50 orang mendekati trak dan van tersebut dan mula membaling botol. Salah seorang daripadanya cuba memecahkan cermin depan dengan batu.”

Katanya, jentera bomba itu kemudiannya mengundur dan melanggar van EMRS.

“Ia berlaku kurang daripada 5 saat. Van itu turut melanggar sebelah kanan kereta saya yang diletakkan di sebelah bahu jalan.

“Semasa memeriksa keadaan kereta, saya melihat seorang anggota bomba duduk di bahu jalan dan sedang memegang dadanya.

“Saya melihat dia seperti hendak pengsan. Beberapa orang tanya sama ada saya boleh hantarnya ke hospital. Saya kata tidak boleh kerana kereta sudah rosak, saya tidak dapat buka (pintu).”

Amirrul berkata, ketika itu, Adib masih dalam keadaan sedar dan 3 orang yang berada di sekitar tempat kejadian tidak nampak apa yang berlaku kepada Adib.

Katanya, beberapa individu kemudiannya membawa Adib ke lokasi lain dan beliau tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.

“Saya dengar dia telah dipukul, tetapi saya tanya orang yang berada di situ, mereka kata tidak nampak apa-apa.

“Saya kemudian membuat laporan polis mengenai kerosakan pada kereta dan beberapa hari selepas itu, saya baru dapat tahu kejadian itu dan pergi ke Balai Polis Shah Alam untuk memberi kenyataan mengenai Adib.”

Adib, 24, yang merupakan anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam keganasan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada awal pagi 27 November lalu.

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara 3 minggu kemudian.