Jawatan tunggal: Pengerusi SPR sedia ke mahkamah

Azhar Azizan Harun gembira kerana rakyat Malaysia lebih sedar tentang hak dan undang-undang berhubung saman itu.

PETALING JAYA: Suruhanjaya pilihan raya (SPR) bersikap terbuka dengan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan mempersoal kelayakan serta kedudukan agensi itu dalam menentukan proses pilihan raya, terutama melibatkan pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun malah gembira dengan tindakan seorang pengundi di Semenyih yang bertindak memfailkan saman terhadap agensi itu bagi memohon perisytiharan mahkamah jika seorang pengerusi mencukupi untuk mengurus SPR.

“Saya gembira kerana ini menunjukkan rakyat Malaysia lebih sedar tentang hak dan undang-undang dan sanggup untuk tampil ke depan bagi membawa isu ini ke mahkamah.

“Saya mengalu-alukan saman itu,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, seorang pengundi di Semenyih memohon perisytiharan mahkamah sama ada “anggota tunggal” SPR boleh menjalankan dan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada badan itu oleh Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Shaharudin Ali berkata, saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.

“Kami telah menfailkan saman memohon beberapa perintah perisytiharan, dan antara lain perisytiharan bahawa SPR tidak wujud dari segi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Plaintif, Sabariah Mohd Shariff yang menamakan pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, SPR dan kerajaan Malaysia sebagai defendan juga meminta pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih dijadualkan 2 Mac depan ditangguhkan sementara menunggu keputusan saman tersebut.

Shaharudin berkata, Azhar tidak boleh secara bersendirian memantau, mengarahkan dan mengawal penyediaan senarai pemilih untuk kedua-dua pilihan raya Parlimen dan negeri.

“Bagi kami, tidak munasabah fungsi sedemikian boleh dilakukan oleh seorang individu,” katanya.

Azhar bagaimanapun mempertahankan kedudukannya sebagai satu-satunya individu yang memegang posisi dalam agensi itu dan bersedia untuk dicabar di mahkamah.

Katanya, SPR juga akan memfailkan afidavit terhadap saman yang difailkan individu tersebut dan berharap mahkamah dapat menetapkan perbicaraan bagi kes itu secepat mungkin.

“Kita akan mempertahankan kenyataan kita tempoh hari dan kita tetap dengan pendirian itu,” katanya.

Bulan lepas, Azhar berkata, beliau boleh bekerja bersendirian dan semua keputusan yang dibuatnya adalah sah dan mengikut undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan berdasarkan nasihat Pejabat Peguam Negara.

“Perkara 114 (1) mestilah dibaca bersekali dengan Perkara 114 (7) Perlembagaan. Kedua-dua peruntukan itu menyimpulkan bahawa fungsi pengerusi adalah sama seperti tugas SPR yang dijalankan secara kolektif sekiranya wujud kekosongan berikutan kehendak undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhar berkata, beliau boleh berfungsi secara bersendirian kerana wujud 6 kekosongan berikutan operasi undang-undang.

Kekosongan itu berlaku berikutan peletakan jawatan bekas timbalan pengerusi SPR dan 5 yang lain pada 1 Januari lepas. Calon baru ke jawatan terbabit belum diumumkan.

Azhar berkata, pihak yang mempersoalkan kuasa wibawanya harus juga membaca Perkara 114 (1) dan (7) bersekali dengan Seksyen 33C Jadual ke-11 Perlembagaan bahawa keputusan SPR tidak terjejas oleh kekosongan.

Katanya, Mahkamah Rayuan mengesahkan SPR boleh berfungsi secara sah sekiranya anggotanya kurang 7 orang atau jika terdapatnya kekosongan dalam kes Peguam Negara lwn Nurul Izzah Anwar dan 10 yang lain tahun lepas.