Kerajaan digesa siasat projek golf di hutan simpan bakau

PETALING JAYA: Kumpulan pelindung alam hari ini mendesak kerajaan campur tangan dalam pembinaan tempat-tempat peranginan golf yang dikatakan telah menceroboh rizab hutan bakau dan tanah basah yang dilindungi di Gelang Patah, Johor.

Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) tidak boleh menerima keputusan membina 3 lapangan golf di kawasan yang didakwa tanah hutan basah yang dilindungi.

“Sudah ada 15 resort golf di negeri ini. Status Ramsar Sungai Pulai mungkin lucut jika kerajaan tidak ambil tindakan tegas memulihkan keadaan ini,” kata Presiden Shariffa Sabrina Syed Akil dalam kenyataan hari ini.

Peka menggesa kerajaan persekutuan dan negeri menyiasat kesahan projek itu yang dijalankan oleh sebuah syarikat asing.

Perbandingan dibuat antara Sungai Pulai dalam laman web Taman Negara Johor dan Google Earth yang dikemaskinikan pada 2 Oktober 2018 menunjukkan projek golf pertama, bernilai RM2 bilion, atas tapak Ramsar.

Difahamkan, syarikat terlibat berniat membina 2 lagi projek golf di kawasan tesebit.

Syarikat asing itu belum mahu menjawab permintaan FMT untuk mendapatkan komen.

Sebelum itu, FMT melaporkan bekas exco Johor nafi mengetahui tentang penyahwartaan sebahagian rizab hutan bakau Sungai Pulau dan tanah basah yang dilindungi.

Sumber memberitahu FMT jika tanah yang dilindungi itu belum dinyahwarta, projek lapangan golf tidak mungkin dapat dijalankan.

Hutan bakau Sungai Pulai dilindungi sebagai hutan simpanan bawah Akta Perhutanan Negara dan diuruskan sebagai hutan penggunaan lestari oleh Jabatan Perhutanan Johor.

Perkembangan ini menyusuli kontroversi Pulau Kukup, yang dinyahwarta sebagai taman negara bagi membuka laluan kepada pembangunan komersial.

FMT menunggu penjelasan daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, pejabat menteri besar Johor, Jabatan Perhutanan Johor, Pejabat Tanah dan Galian Johor, dan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Shahruddin Jamal.