Laporan siasatan 6 bomba lemas di lombong Puchong dibentang ke Kabinet bulan ini

Zuraida Kamaruddin berkata, kematian 6 anggota bomba pada 3 Oktober 2018 itu adalah insiden pertama sejak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ditubuhkan 135 tahun lalu. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Laporan Jawatankuasa Siasatan Kematian 6 Anggota Bomba di lombong Taman Putra Perdana, Puchong pada 3 Oktober tahun lalu, dijangka dibentangkan kepada Kabinet 27 Februari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan hari ini berkata, laporan itu sudah dibentangkan dan diserahkan kepadanya semalam.

“Hasil laporan siasatan dan tindakan penambahbaikan akan diumumkan, setelah jawatankuasa siasatan ini melaporkan hasil laporan siasatan secara rasmi kepada menteri-menteri Kabinet nanti,” katanya.

Menurut Zuraida, gerak kerja Jawatankuasa Siasatan Kematian 6 Anggota Bomba itu bermula 26 November hingga 14 Januari lalu, selama 21 hari.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat 16 November 2018 bagi mengkaji dan mengenal pasti punca sebenar kejadian dan seterusnya mencadangkan langkah penambahbaikan bagi mengelakkan insiden sedemikian berulang.

Zuraida berkata, kematian 6 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada 3 Oktober itu adalah insiden pertama dalam sejarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sepanjang 135 tahun penubuhannya.

Enam mangsa yang terkorban terdiri daripada 4 anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang dikenali sebagai Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.

Dua lagi mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam yang dikenal pasti Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Dalam kejadian 9.15 malam itu, semua mangsa dalam operasi mencari dan menyelamat seorang remaja 17 tahun yang lemas, selepas tergelincir dalam lombong itu ketika memancing.