Perak pendekkan masa buka lot Bumi tak laku kepada kaum lain

Ahmad Faizal Azumu berkata, pelepasan kuota Bumiputera itu antara penambahbaikan dalam Dasar Perumahan Negeri Perak yang akan berkuat kuasa 1 April nanti. (Gambar Facebook)

IPOH: Kerajaan Perak kini membenarkan pemaju perumahan memohon pelepasan kuota Bumiputera, selepas hartanah itu gagal dijual dalam 6 bulan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu antara penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak yang diumumkan hari ini dan akan berkuat kuasa mulai 1 April nanti.

Beliau berkata, tempoh yang disingkatkan dari 2 tahun kepada 6 bulan itu bertujuan meringankan beban pemaju yang perlu menanggung kos kerosakan dan penyenggaraan rumah tidak terjual.

“Selepas 6 bulan proses jualan oleh LPHP, pemaju boleh memohon pelepasan 50% kuota Bumiputera dengan syarat mereka telah mencapai 30% pembinaan fizikal serta 60% lot bukan Bumiputera telah dijual.

“Permohonan pelepasan ke-2 untuk baki lot Bumiputera 50% lagi hanya boleh dibuat setelah pembinaan fizikal mencapai 80% dan 90% lot bukan Bumiputera habis dijual,” katanya dalam sidang media mengenai penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak di sini, hari ini.

Faizal berkata, denda atau levi 2 kali ganda daripada levi sedia ada akan dikenakan ke atas pemaju yang menjual lot Bumiputera sebelum kelulusan pihak berkuasa negeri.

Bagi menarik minat lebih ramai pemaju swasta membina Rumah PerakKu I dan PerakKu II di kawasan bandar, beliau berkata, kerajaan negeri akan menaikkan harga siling hartanah tersebut.

“(Harga siling) Rumah Perakku I (dinaikkan) daripada RM70,000 kepada RM90,000, manakala Rumah PerakKu II daripada RM140,000 kepada RM180,000.

“Selaras kenaikan harga ini, keluasan minimum Rumah PerakKu I di Zon A juga dinaikkan daripada 860 kaki persegi kepada 900 kaki persegi,” katanya.