Permohonan penganut halang pemaju masuk kuil Seafield ditolak

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menolak dengan kos permohonan bagi injunksi interlocutory oleh 50 penganut Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya untuk menghalang One City Development Sdn Bhd, pemilik dan pemaju tapak kuil, daripada memasuki kawasan itu untuk tujuan perobohan.

Plaintif juga memohon antara lain, perintah untuk menangguhkan pelaksanaan writ pemilikan bertarikh 14 November 2017, yang diperoleh oleh One City Development.

Hakim Wong Kian Kheong membuat keputusan itu selepas mendapati plaintif tidak mempunyai justifikasi yang wajar untuk tindakan terhadap pemaju dan tidak mempunyai “locus standi” bawah Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan untuk memulakan tindakan saman.

“Saman ini dihalangi oleh batas doktrin res judicata dan membenarkan perintah berhubung permohonan plaintif bererti membenarkan pelanggaran dua perintah mahkamah secara berterusan,” katanya.

Selain One City Development, plaintif juga menamakan K Chellapan, yang disaman sebagai pegawai awam bagi pihak jawatankuasa pengurusan kuil; Sime UEP Properties Bhd; pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor dan kerajaan Selangor sebagai defendan.

Hakim Wong juga menolak dengan kos permohonan plaintif untuk menangguhkan semua prosiding dalam saman itu sementara menunggu campurtangan tangan oleh peguam negara untuk menyelesaikan secara aman semua perkara berkaitan kuil.

“Plaintif gagal menunaikan kewajipan untuk meyakinkan mahkamah bahawa wujud situasi khas dalam kes ini untuk menjustifikasi penangguhan pelaksanaan perintah.

“Campur tangan peguam negara adalah tidak berupa situasi khusus untuk menangguhkan saman kerana saman ini berkaitan tanah yang didaftarkan atas nama defendan ke-5 (One City Development).

“Pemilikan dan hak defendan ke-5 terhadap tanah telah diperuntukkan oleh Kanun Tanah Negara, sesungguhnya hak milik defendan ke-5 ke atas tanah itu dijamin oleh Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah Kanun Tanah Negara dan undang-undang bertulis yang lain, peguam negara tidak mempunyai bidang kuasa ke atas tanah atau mana-mana ‘tanah milik’ untuk perkara itu,” katanya.

Beliau menambah sehingga tarikh penghakiman hari ini, peguam negara tidak campur tangan dalam saman itu dan lagi pula tidak ada petanda menunjukkan sama ada peguam negara akan campur tangan dalam kes itu.

Mengulas lebih lanjut mengenai penghakimannya bahawa kenyataan tuntutan plaintif tidak mempunyai justifikasi bagi tindakan, Hakim Wong berkata kenyataan tuntutan pada dasarnya menyentuh penggunaan sebahagian tanah oleh pihak kuil dan yang lebih penting, kenyataan tuntutan tidak menyatakan kebebasan beragama oleh plaintif telah dicabuli dalam kes ini.

“Saya juga menolak apa-apa kebergantungan kepada adat Hindu sehingga menjejaskan Kanun Tanah Negara. Sesuatu adat atau pengamalan hanya dapat dilaksanakan jika dapat ditunjukkan bahawa adat atau pengamalan itu mempunyai ‘kuat kuasa undang-undang’ dan dalam kes ini, tidak ada bukti bahawa adat Hindu mempunyai kuat kuasa undang-undang.

“Dalam apa jua keadaan, apa-apa adat atau pengamalan tidak boleh mengatasi peruntukan terakam Kanun Tanah Negara mengenai hak pemilik berdaftar terhadap tanah yang dijamin di bawah Perkara 13(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam prosiding yang sama, Hakim Wong membenarkan permohonan One City Development, Sime UEP Properties, pengarah Perancangan Bandar dan Desa Selangor serta kerajaan Selangor untuk membatalkan saman oleh penganut kuil tersebut.

Beliau juga memerintahkan plaintif membayar ganti rugi dan faedah pada kadar 5% setahun terhadap jumlah ganti rugi kepada One City Development berhubung semua kerugian yang dialami oleh pemaju yang timbul daripada akujanji.

Dalam saman itu, plaintif antara lain mendakwa, kuil itu dibina pada 1880 oleh nenek moyang plaintif ketika mereka bekerja untuk “Seafield Rubber Estate” dan mendakwa bahawa pada 16 Ogos 2005, Jawatankuasa Exco Selangor “mengesahkan” kuil itu akan kekal atas tanah tersebut.

Sementara itu, peguam Claudia Cheah Pek Yee yang mewakili One City Development memberitahu pemberita selepas prosiding bahawa penghakiman hari ini bermakna pemaju mempunyai kebebasan untuk meneruskan pelaksanaan writ hak milik.

Isu pemindahan kuil tersebut mencetuskan rusuhan pada 26 dan 27 November tahun lepas berhampiran kuil, di mana seorang anggota bomba, Muhamad Adib Mohd Kassim, cedera parah sementara beberapa orang lain turut cedera, 23 kenderaan dibakar dan sebahagian One City Mall mengalami kerosakan.

Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember.