SPRM siasat laporan terhadap menteri muda Sarawak

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak mengesahkan terima laporan yang mendakwa Menteri Muda Pembangunan Usahawan Perusahaan Kecil E-Dagang, Datuk Naroden Majais terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah Razim Mohd Noor berkata SPRM akan menjalankan siasatan dan sekiranya perlu, Naroden akan dipanggil untuk memberi keterangan.

“SPRM akan menjalankan penyiasatan. SPRM tengok keperluan untuk panggil beliau,” katanya ketika dihubungi oleh Bernama hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal tempatan melaporkan seorang bekas wartawan, Joseph Tawie tampil ke ibu pejabat SPRM di Jalan Tun Jugah bagi membuat laporan mengenai Naroden yang dikatakan memiliki tanah yang luas di sekitar kawasan Simunjan.

Dalam laporan itu, Joseph juga mendedahkan beliau turut dibantu oleh peguam Dominique Ng, yang juga bekas Adun Padungan, untuk sama-sama membuat laporan itu pada 8 Februari.

Katanya, laporan yang dibuat itu bersangkut paut dengan laporan yang dibuat oleh Ng sebelum ini, iaitu laporan yang dibuat adalah tentang isu tanah yang diambil.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan secara terperinci di mana kawasan tanah yang dimaksudkan oleh Ng.